Arthur Melo. FOTO Agensi
Arthur Melo. FOTO Agensi
AFP

PEMAIN tengah Brazil, Arthur Melo mungkin berdepan tindakan kerana gagal hadir latihan bersama Barcelona yang melengkapkan perjanjian untuk menjualnya kepada Juventus bulan lalu.

Kelab The Catalan berkata pemain berkenaan masih mempunyai kontrak sehingga penghujung musim ini dan masih diperlukan khidmatnya.

Malah media tempatan mendakwa pemain itu sudah berada di negara kelahirannya, Brazil.

"Pemain itu tidak menyertai pasukan seperti diharapkan dan kami akan mengambil tindakan terhadapnya," menurut kenyataan kelab itu.

Arthur Melo dijual kepada Juventus menerusi perjanjian 72 juta Euro (RM358 juta) dengan perancang tengah dari Bosnia, Miralem Pjanic dari kelab gergasi Itali itu bakal menyertai Barca menerusi yuran perpindahan hampir sama pada penghujung musim ini.

Pemain berkenaan dilaporkan keberatan meninggalkan Camp Nou dan mengeluarkan kenyataan pada April, mengakui "ideanya jelas" dan dia mahu beraksi di Barcelona "untuk tempoh yang panjang".

Jurulatih Barca, Quique Setien berkata pada sidang media ketika penjualan itu : "Kami menjangkakan komitmen tinggi daripadanya sehingga hari terakhir dia berada di sini."

Media sukan harian Sepanyol, Mundo Deportivo memberitahu pemain itu mengekalkan saranan Setien untuk beraksi pada perlawanan terakhir La Liga bersama kelab itu.

Arthur Melo tidak diturunkan dalam skuad Barca sejak perpindahan itu diumumkan pada 29 Jun lalu.

Barcelona kembali meneruskan latihan awal pagi ini menjelang perlawanan kedua saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara berdepan Napoli pada 9 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 9:50 AM