DR S Shamala
DR S Shamala
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Ke manakah hala tuju atlet selepas bersara? Jika mahu menyambung pengajian terpaksa pula berhadapan masalah kelayakan selain perlu berebut tempat, sekali gus impian sekurang-kurangnya menggenggam segulung ijazah hanya tinggal angan-angan saja.

Malah, lebih buruk, ada pula atlet menangguh pengajian gara-gara tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ketika meneruskan pengajian di universiti awam.

Senario terbabit dikesan persatuan sukan di negara ini apabila ada antara atlet di bawah naungan mereka menyatakan kesukaran meneruskan pengajian berikutan masalah itu.

Perkara terbabit didedahkan Timbalan Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Prof Datuk Dr S Shamala yang berpendapat sudah tiba masanya industri sukan di negara ini bergerak selangkah ke hadapan dengan menubuhkan universiti sukan bagi menyelesaikan masalah terbabit secara menyeluruh.

Beliau berkata, penubuhan universiti itu bukan hanya mampu memantapkan lagi sains sukan di negara ini, malah 'membaiki' kelemahan sedia ada terutama membabitkan atlet yang gagal melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

"Sebagai contoh, menerusi penubuhan universiti sukan sudah tentu jadual kelas mereka akan mengikut waktu bersesuai dengan atlet iaitu akan dilaksanakan secara dalam talian atau pada masa bersesuaian.

"Jika penubuhan universiti sukan menjadi kenyataan, boleh menjadi lubuk kepada atlet bertaraf kebangsaan yang mempunyai pengetahuan tinggi berkaitan sains sukan.

"Bayangkan sains sukan merangkumi kejuruteraan, sosial, fisioterapi dan ditambah pula kecanggihan teknologi dengan semuanya itu 'bersatu' dalam universiti sukan sekali gus atlet yang dapat dilahirkan nanti lebih berkualiti," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Isnin lalu, Arena Metro melaporkan selepas kewujudan sekolah sukan yang melahirkan pelbagai atlet bertaraf dunia, sudah tiba masanya Malaysia mengorak selangkah lagi dengan mewujudkan universiti sukan.

Kewujudan universiti seumpama itu dijangka dapat memperkembangkan lagi industri sukan negara dengan bukan saja melahirkan atlet bertaraf dunia, tapi jurulatih, tenaga pengajar, usahawan, fisioterapi dan pelbagai lagi bidang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, universiti sukan memberi peluang dan ruang kepada badan sukan untuk membuat kajian seterusnya menyelesaikan masalah yang sering membelenggu mereka sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 6:01 AM