MARQUEZ (kanan) menerima cabaran daripada pelumba Ducati, Andrea Dovizioso pada GP Sepanyol, Ahad lalu. FOTO AFP
MARQUEZ (kanan) menerima cabaran daripada pelumba Ducati, Andrea Dovizioso pada GP Sepanyol, Ahad lalu. FOTO AFP
AFP

Juara dunia MotoGP, Marc Marquez selamat menjalani pembedahan di tangannya selepas terbabit dengan kemalangan pada pusingan pembukaan di Sepanyol namun belum pasti bilakah dia akan kembali beraksi.

Honda berkata, Marquez mungkin akan kekal di hospital di Barcelona selepas plat titanium dimasukkan ke tangan kanannya ketika pembedahan itu.

"Dia mensasarkan untuk kembali ke Kejohanan Dunia secepat yang mungkin dengan jangkaan tarikh sebenar akan diketahui kelak," kata Honda dalam satu kenyataan.

Pelumba Sepanyol berusia 27 tahun itu yang juga juara dunia enam kali MotoGP, hilang kawalan jenteranya sebelum terjatuh ketika perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol di Jerez, Ahad lalu.

Marquez kemudian dikejarkan ke hospital dan kemudian didapati patah di tangan kanannya.

Dia tidak akan beraksi pada perlumbaan minggu ini di GP Andalusia yang turut berlangsung di Litar Jerez.

Rakan senegara Marquez, Alex Rins serta pelumba Britain, Cal Crutchlow juga mungkin terlepas untuk beraksi di pusingan kedua.

Selepas dua perlumbaan di Jerez, GP Czech pula akan menganjurkan pusingan perlumbaan seterusnya 9 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 11:37 AM