Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa. FOTO File NSTP
Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


"MFL (Liga Bolasepak Malaysia) buat keputusan yang tepat." Demikian pujian diberikan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang menyambut baik keputusan pentadbir liga tempatan itu mempercepatkan saingan dengan 26 Ogos ini sebagai tarikh bersambung semula liga.

Malah, ia juga menunjukkan bahawa MFL sememangnya mendengar rintihan pasukan yang sebelum ini berharap agar Liga M dapat bermula awal daripada tarikh asal pada 1 September dan berakhir pada 27 September ini.

Antara yang meluahkan permintaan itu adalah Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa yang disiarkan oleh Arena Metro, Selasa lalu apabila beliau mengakui bimbang kepadatan jadual mungkin akan mengundang risiko keletihan kepada pemain.

"Baguslah bila MFL cepatkan liga lebih awal. Kita bukan apa, ia sekurang-kurangnya dapat elakkan jadual yang mungkin sedikit padat nanti.

"Saya ucapkan terima kasih dan kini semua pasukan dah boleh buat persediaan masing-masing," katanya.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi lampu hijau buat aktiviti bola sepak khususnya saingan Liga M dimulakan seawal 15 Ogos ini.

Lantas, ramai pihak termasuk pasukan dan jurulatih sedia memulakan aksi liga lebih awal daripada tarikh asal iaitu pada September ini.

Bagaimanapun, teka-teki itu berakhir selepas MFL mengumumkan bahawa Liga M akan kembali bersambung pada 26 Ogos selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik Covid-19.

Keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga Malaysia lebih kompetitif dan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 7:30 PM