DURAKOVIC pentingkan tahap kecergasan pemain.
DURAKOVIC pentingkan tahap kecergasan pemain.
Firdaus Hashim


KETUA jurulatih Perak, Mehmet Durakovic tidak melihat sebarang masalah sekiranya saingan Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung pada September meskipun pihak kerajaan memberi lampu hijau seawal 15 Ogos.

Jelasnya, perkara paling dititikberatkan adalah tahap kecergasan setiap pemain yang perlu berada pada tahap terbaik sebelum memulakan perlawanan sebenar kerana beliau enggan mereka terdedah dengan risiko kecederaan.

Justeru, sekiranya saingan kembali bersambung pada September, tiada masalah untuk pasukan kerana tempoh persediaan terutamanya latihan secara 'body contact' dapat dilakukan lebih lama dengan lebih rapi.

Bagaimanapun, semuanya terserah kepada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan tetap positif sekiranya Liga M berlangsung bulan depan di mana kedua-dua pilihan itu tetap yang terbaik untuk semua pasukan.

"Sekarang ini kita mempunyai masa mengumpulkan semua pemain yang ada dalam satu masa dan sama ada kita bermula lebih awal atau September sekalipun, tiada satu pasukan pun yang akan rasa apa-apa kelebihan kerana kita semua dalam situasi sama.

"Jadi, semua akan merasa benda yang sama di mana kalau daripada segi tempoh masa latihan yang lama, semua pasukan akan merasa perkara itu, jadi tiada masalah pun.

"Kalau bermula pada Ogos, mungkin kebaikannya daripada aspek lain pula, jadi terserah kepada MFL untuk memutuskan kerana bagi saya, kedua-duanya tetap pilihan yang positif untuk pasukan", katanya.

Semua pasukan dibenarkan menjalani latihan secara 'body contact' bermula esok tetapi masih perlu mengutamakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan untuk memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Apa yang penting, Durakovic akan memastikan anak buahnya dalam keadaan terbaik sebaik sahaja mereka memulakan latihan fasa II dengan perlu lebih berhati-hati bagi elakkan sebarang kecederaan.

"Saya memang tidak sabar untuk melihat semua pemain berkumpul kerana ketika ini sesi latihan agak terhad apabila perlu dibahagikan dengan beberapa kumpulan.

"Saya amat berpuas hati dengan kecergasan ditampilkan pemain setakat ini kerana tiada kecederaan antara mereka dan selepas ini perlu bekerja lebih keras dalam latihan untuk dapatkan balik momentum perlawanan", jelasnya.

Ahli Lembaga Pengarah akan memutuskan tarikh rasmi Liga M selepas menerima laporan penuh persiapan untuk penyambungan liga daripada Sekreteriat MFL dalam tempoh terdekat ini.

Berdasarkan perancangan MFL sebelum ini, badan pentadbir Liga Malaysia itu akan meneruskan pertandingan Liga Super, Liga Perdana pada 1-2 September dan akan berakhir pada 26-27 September dengan saingan secara separuh liga sahaja.

Manakala Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober hingga 7 November sementara Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 6:41 PM