SHUKOR lebih suka bermain 1 September kerana memberikan masa yang lebih kepada pasukan membuat persiapan dan pemain mendapatkan kecergasan. FOTO Ihsan KLFA
SHUKOR lebih suka bermain 1 September kerana memberikan masa yang lebih kepada pasukan membuat persiapan dan pemain mendapatkan kecergasan. FOTO Ihsan KLFA
Syazwan Msarmohd


PERTAHANAN berpengalaman, Shukor Adan yang kini antara tonggak utama Kuala Lumpur, mengharapkan Liga Malaysia (Liga M) kekal bermula 1 September bagi memastikan semua pasukan mampu berada di tahap maksimum dan mengelakkan risiko kecederaan dalam kalangan pemain.

Faktor itu juga bersesuaian dengan kebenaran latihan penuh kontak yang bermula 15 Julai ini sekali gus memberikan masa sekurang-kurangnya enam minggu kepada pemain serta pasukan membuat persiapan menyeluruh termasuk aksi persahabatan.

Bagaimanapun, Shukor menyerahkan semua ketetapan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk membuat keputusan sambil bersedia jika saingan Liga Super dan Liga Perdana dimulakan pada pertengahan Ogos atau awal September.

"Kalau diikutkan, saya lagi suka bermain pada 1 September seperti kita ketahui sebelum ini kerana memberikan masa yang lebih kepada pasukan membuat persiapan dan pemain mendapatkan kecergasan berbanding 15 Ogos.

"Bukan semua pasukan bermula awal sebaik dibenarkan latihan fasa 1 pada 15 Jun lalu, seperti Kuala Lumpur kami hanya bermula 29 Jun iaitu dalam tempoh dua minggu saja.

"Jadi saya rasa jika kekal pada 1 September, situasi itu lebih baik kepada semua pasukan tambahan kami sempat mengatur perlawanan persahabatan," katanya.

Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan sukan bersentuhan fizikal bagi sukan berpasukan dibenarkan bermula pada 15 Ogos ini.

Pengumuman ini termasuk penganjuran Liga Malaysia namun kehadiran penonton masih belum dibenarkan dan hanya terhad kepada pertandingan dalam negara saja.

Sementara itu, penyerang Perak, Shahrel Fikri pula menganggap perlawanan persahabatan cukup penting ketika ini sebelum saingan Liga M bermula.

Sekiranya Liga M bermula pada September, semua pasukan akan mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan perancangan sebaik saja latihan secara "body contact" bermula.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun ini menerima apa saja keputusan yang dilakukan oleh MFL berhubung tarikh sebenar Liga Malaysia akan bermula.

"Sebagai pemain, saya sentiasa bersedia bilakah saingan akan kembali bersambung tidak kira bulan Ogos atau September.

"Tapi, sekiranya bermula pada Ogos, mungkin jadual liga tidak akan terlalu padat, dan jika bermula pada September, pasukan akan ada banyak masa lagi untuk bersedia dan melakukan aksi persahabatan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 8:03 PM