KLOPP lebih memikirkan kemenangan berbanding rekod. FOTO AFP
KLOPP lebih memikirkan kemenangan berbanding rekod. FOTO AFP
AFP

MOHAMED Salah meletakkan Liverpool kembali pada landasan terbaik untuk mencatat rekod mata Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila juara baru itu mengalahkan Brighton 3-1.

Pasukann bimbingan Jurgen Klopp itu berharap dapat memecah rekod 100 mata yang dilakukan Manchester City pada 2018 dan mereka masih lagi mampu untuk melakukannya selepas mencatat kemenangan pertama di gelanggang lawan sejak Februari.

Liverpool sekarang sudah mengumpul 92 mata dan memerlukan sembilan lagi mata tabahan dalam baki empat perlawanan bertemu Burnley, Arsenal, Chelsea serta Newcastle untuk mencatat rekod baru.

"Ia tidak penting bagi saya (mengejar rekod). Saya tidak berminat mengenai perkara ini tapi saya mahu memenangi setiap perlawanan.

"Bagi orang sukan secara keseluruhan ia mungkin penting. Kami adalah juara dan ia memang nampak mudah tapi tidak. Pemain akan memberikan segalanya.

"Kami sekarang sudah meraih 92 mata dan musim lalu 97. Ia ssangat luar biasa, saya pun tidak tahu macam mana kami boleh lakukan," kata Klopp.

Salah menghukum kelemahan pertahanan lawan pada minit keenam, untuk jaringan ke-22 musim ini.

Jordan Henderson melebarkan penguasaan Liverpool dengan melakukan rembatan lencong tiga minit kemudian.

Leandro Trossard cuba merapatkan kedudukan dengan rembatan deras pada masa kecederaan separuh pertama.

Bagaimanapun, tandukan Salah pada minit ke-76 hasil sepakan sudut Andrew Robertson mengesahkan kemenangan Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 9:55 AM