BARISAN pemain Liverpool meraikan gol jaringan Henderson (tengah). FOTO AFP
BARISAN pemain Liverpool meraikan gol jaringan Henderson (tengah). FOTO AFP
AFP

London: Liverpool menamatkan kemarau kemenangan selama tiga bulan di tempat lawan dengan membelasah Crystal Palace 7-0 sekali gus menduduki tangga teratas Liga Perdana dengan kelebihan enam mata.

Roberto Firmino dan Mohamed Salah masing-masing menjaringkan dua gol manakala Takumi Minamino, Sadio Mane dan Jordan Henderson turut menyumbang gol.

Salah hanya bermula di bangku simpanan namun penggantinya, Minamino hanya memerlukan minit ke-3 untuk meletakkan Liverpool di depan selepas menerima hantaran dari Mane untuk gol pertamanya di Liga Perdana.

Mane menamatkan kemarau gol selepas sembilan perlawanan menerusi rembatan rendah hasil hantaran Firmino minit ke-35.

Firmino menambah gol minit ke-44 untuk Liverpool mendahului 3-0 selepas tamat babak pertama.

Henderson mengukuhkan kedudukan Liverpool menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti minit ke-52.

Pengendali Liverpool, Klopp kemudian mengeluarkan Mane dan menggantikannya dengan Salah yang menjadi watak penting kepada gol Firmino minit ke-68.

Salah kemudian meledak dua gol lewat permainan minit ke-81 dan 84 untuk mengesahkan kemenangan Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 11:10 PM