Sharbinee ketika menjalani latihan sebelum PKP. FOTO FB Pahang FA
Sharbinee ketika menjalani latihan sebelum PKP. FOTO FB Pahang FA
Asrol Awang


PENJAGA gol Pahang, Sharbinee Allawee Ramli mengakui Ramadan turut membantu mengekalkan berat badan sejak penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga M) berikutan pandemik Covid-19.

Sharbinee yang juga bekas penjaga gol kebangsaan berkata, sebagai benteng terakhir, dia perlu memastikan berat badan ideal seperti sebelum saingan Liga M ditangguhkan, Mac lalu.

"Setakat ini saya bersyukur kerana masih dapat mengekalkan berat badan biarpun sekadar menjalani latihan di rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebaik menjalani ibadah Ramadan, ia juga turut membantu dalam soal berat badan termasuk memastikan pemakanan yang sihat dan seimbang.

"Sepanjang Ramadan ini, jika tidak berlatih pada waktu siang, saya melakukanya pada waktu malam iaitu bergantung kepada keadaan.

"Setakat ini segalanya dilihat positif biarpun tahap kecergasan yang diinginkan tidak sama seperti sebelum penangguhan liga," katanya.

Mengulas saingan Liga M, khususnya Liga Super yang dijangka bersambung September depan, dia sentiasa menantikan saingan liga untuk kembali berlangsung.

Katanya, biarpun terpaksa menunggu lebih lama, soal kecergasan sentiasa diberi perhatian biarpun perlu melakukannya sepanjang Ramadan.

"Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan keluar berjoging, saya percaya tahap kecergasan semua pemain akan kembali meningkat.

"Ini kerana latihan yang dilakukan di rumah agak terhad tetapi kebenaran yang diberikan mengikut pelaksanaan PKPB ini mampu mengembalikan tahap kecergasan lebih bagus.

"Sebagai penjaga gol, saya perlu kekal cergas terutama daripada segi kemahiran dan ketangkasan sebaik kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 6:13 PM