SEORANG penduduk memegang jersi yang ditandatangani oleh Maradona. FOTO AFP
SEORANG penduduk memegang jersi yang ditandatangani oleh Maradona. FOTO AFP
AFP

DIEGO Maradona menghulur tangan membantu menangani pandemik Covid-19 di tempat asalnya dengan menurunkan tandatangan di jersi skuad kebangsaan Argentina bertujuan untuk mengumpul dana.

Penjualan jersi itu bagi mengumpul wang membantu kawasan yang kurang bernasib baik di pinggir Buenos Aires yang terkesan berikutan perintah berkurung.

"Kita akan dapat mengharunginya," tulis Maradona di replika jersi itu yang dipakainya ketika mengetuai negaranya menjulang Piala Dunia pada 1986.

Jersi itu pada awalnya ditawarkan untuk dilelong namun akan diberikan kepada mereka yang dapat memberi sumbangan mengumpulkan barangan kebersihan, penutup muka dan kira-kira 100 kilogram makanan.

"Diego pasti tidak pernah membayangkan betapa besar sumbangannya kepada kami. Ia amat bernilai," kata seorang penduduk tempatan, Marta Gutierrez.

Argentina ketika ini berdepan krisis ekonomi yang serius berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 11:08 PM