BLOOM (kiri) berkata Liverpool berhak memenangi Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
BLOOM (kiri) berkata Liverpool berhak memenangi Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
Agensi

PENGERUSI Brighton, Tony Bloom berkata, Liverpool berhak untuk memenangi Liga Perdana Inggeris meskipun jika saingan musim ini gagal ditamatkan tetapi tiada mana-mana pasukan perlu disingkirkan dari liga utama itu kecuali kesemua perlawanan dapat dihabiskan.

Penangguhan liga berikutan pandemik Covid-19 menyaksikan timbul persoalan kempen musim ini akan dibatalkan sebelum aksi liga kembali bersambung.

Ketika aksi liga ditangguhkan, Liverpool selesa dengan kelebihan 25 mata di tangga teratas manakala Brighton adalah antara kelab yang bergelut mengelak dari zon penyingkiran.

Brighton mempunyai kelebihan dua mata dari zon penyingkiran dengan berbaki sembilan perlawanan.

“Saya tidak nampak situasi di mana jika musim ini tidak bersambung semula, pasukan akan tersingkir berdasarkan kepada kedudukan semasa,” kata Bloom.

“Ia juga tidak mengambil kira kekuatan pasukan yang anda belum lawan. Anda mungkin sudah mempunyai pemenang liga iaitu Liverpool yang jelas berhak untuk memenanginya.

“Anda boleh gunakan kriteria itu untuk kelayakan Eropah tetapi saya tidak pasti adakah cukup untuk memperoleh 70 peratus undian yang diperlukan untuk menyingkirkan pasukan,” katanya.

Perkara itu juga bakal mencetuskan masalah pada tahun depan kecuali sistem naik taraf dalam liga dibatalkan yang akan menyebabkan pasukan seperti pendahulu Liga Kejuaraan, Leeds menanggung kerugian besar.

“Saya tidak pernah membincangkannya sebelum ini. Saya tidak mahu meramal apa yang akan berlaku dalam aspek naik taraf pasukan, ia terlalu sukar.

“Tiada penyelesaian sempurna di sini. Ada sebahagian kelab berada dalam keadaan yang sukar, ada yang sedikit bertuah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 10:24 AM