AZROY ketika berjaya memungut pingat emas pertama negara serta memecahkan rekod Sukan Komanwel bagi kategori 56kg lelaki di Carrara Stadiu, dua tahun lalu. FOTO Yazit Razali.
AZROY ketika berjaya memungut pingat emas pertama negara serta memecahkan rekod Sukan Komanwel bagi kategori 56kg lelaki di Carrara Stadiu, dua tahun lalu. FOTO Yazit Razali.
Aida Adilah Mat


BADANG negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad berharap Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan membuat rayuan ke Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) untuk meringankan hukuman penggantungan seterusnya membolehkan atlet negara bertanding di temasya Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Biarpun kategorinya iaitu 56 kilogram (kg) tidak dipertandingkan di temasya itu, namun pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast itu amat berharap PABM akan memikirkan masa depan sahabatnya, Muhammad Aznil Bidin.

Katanya, Aznil berpeluang cerah untuk beraksi di Olimpik Tokyo selepas mengumpul 2,333 mata dan hanya memerlukan 800 mata lagi untuk membolehkan dia beraksi di temasya itu.

“Saya rasa terkilan dan kecewa, orang lain yang buat masalah tapi kami yang kena hukuman sehingga menyebabkan impian kawan saya (Aznil) ke Olimpik mungkin terkubur.

“15 tahun dia (Aznil) berusaha untuk ke Olimpik dan akhirnya ini yang terpaksa dia terima. Peluang dia cerah dan hanya memerlukan satu atau dua kejohanan saja lagi untuk mengumpul mata, jadi jika hukuman dikurangkan mungkin dia boleh ke Olimpik,” katanya.

Biarpun begitu, Azrol berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dan PABM mengekalkan pasukan sedia ada termasuk jurulatih agar proses untuk kelayakan ke Sukan Komanwel 2022 tidak terjejas.

“Proses kelayakan ke Komanwel bermula tahun depan. Jadi saya harap MSN dan PABM tidak membuat rombakan terhadap pasukan sedia ada ini.

“Apapun apa yang IWF lakukan ini satu pengajaran buat semua untuk lebih berhati-hati di masa hadapan,” katanya yang masih lagi di bawah Program Podium.

Terdahulu PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April 2020 hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Keputusan itu juga turut tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF, selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020.

Penggantungan selama lima bulan itu adalah disebabkan sebelum ini, PABM menggantung atlet Malaysia daripada menyertai sebarang kejohanan IWF selama setahun, bermula 31 Mei 2018 hingga 1 Mei 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 6:01 PM