SS Cheema berkata agak sia-sia membelanjakan wang yang banyak, untuk merayu kepada CAS. FOTO Mohd Yusni Ariffin
SS Cheema berkata agak sia-sia membelanjakan wang yang banyak, untuk merayu kepada CAS. FOTO Mohd Yusni Ariffin
BERNAMA

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) dinasihatkan untuk memfokuskan kepada pembangunan akar umbi dan pendidikan anti dadah, berbanding membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membuat rayuan di Mahkamah Timbang Tara Keadilan untuk Sukan (CAS).

Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping dan Perubatan Majlis Olimpik Malaysia Datuk Dr SS Cheema berkata, dengan ketiadaan kejohanan sukan besar dijadualkan sehingga tarikh akhir penggantungan iaitu April 2021, agak sia-sia untuk membelanjakan wang yang banyak, untuk merayu kepada CAS yang berpusat di Swiss.

Kos untuk merayu agak mahal, PABM perlu berfikir banyak kali sebelum merayu kerana Sukan Asia dan Komanwel hanya dianjurkan pada 2022, manakala Sukan SEA dijadualkan pada akhir 2021.

“Adalah lebih bijak untuk belanjakan wang itu bagi mewujudkan kesedaran menghapuskan isu itu. Ia sesuatu yang baik untuk membawa kes itu ke CAS jika peluang untuk menang cerah,” kata Dr Cheema yang sudah lama berkecimpung dalam pentadbiran sukan.

PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Badan dunia itu juga tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF, selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020, susulan beberapa kes doping melibatkan badang negara pada 2018.

IWF berkata, pengantungan satu tahun tersebut akan dikaji semula dan mungkin akan ditarik balik seawal 1 Okt, jika PABM boleh menunjukkan yang mereka telah mencapai kriteria yang ditetapkan.

Sehingga kini tidak ada seorang atlet angkat berat Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo, namun harapan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 Muhammad Aznil Bidin untuk melayakkan diri, musnah, akibat pengantungan itu.

PABM juga dalam perancangan untuk mendapatkan maklumat lanjut, selain mengkaji kesan dan akibat sebelum membuat sebarang keputusan, sama ada membawa kes itu ke CAS atau tidak.

Sementara itu, Dr. Cheema berkata bagi menghapuskan penyalahgunaan dadah, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang menggunakannya, lebih berat daripada yang dikenakan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), kerana masalah itu kini merebak ke akar umbi.

“Satu yang menyedihkan untuk melihat atlet Sukma (Sukan Malaysia) juga diuji positif, bermakna kesedaran anti-doping dan pendidikan tidak sampai ke akar umbi. Ini perlu dihentikan di semua peringkat, demi kebaikan persatuan sukan kebangsaan dan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:52 PM