DATUK Ayub Rahmat. FOTO Hafiz Sohaimi
DATUK Ayub Rahmat. FOTO Hafiz Sohaimi
Syazwan Msar


KEM angkat berat negara tetap menjalani latihan seperti biasa walaupun Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) digantung menyertai sebarang aktiviti Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selama setahun.

Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat berkata, penganjuran kejohanan angkat berat di peringkat domestik tetap berjalan seperti biasa dengan setiap negeri boleh membuat permohonan bagi penganjuran pertandingan secara tertutup.

Beliau berkata, hukuman yang dikenakan IWF seharusnya menjadi iktibar kepada semua pihak supaya tidak mengulangi kesilapan sama seterusnya perlu menebus dengan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Kita tidak membuat sebarang permohonan rayuan kerana tempoh penggantungan akan berakhir September depan sekali gus memberi ruang dan peluang kepada atlet angkat berat untuk menyertai kejohanan pada tahun depan.

"Pada masa sama, kita juga sudah merangka modul latihan intensif kepada atlet angkat berat bagi memastikan mereka berada pada tahap optimum," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April 2020 hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Keputusan itu juga turut tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF, selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020.

Penggantungan selama lima bulan itu adalah disebabkan sebelum ini, PABM menggantung atlet Malaysia daripada menyertai sebarang kejohanan IWF selama setahun, bermula 31 Mei 2018 hingga 1 Mei 2019.

Sementara itu, Ayub berkata, berkaitan denda yang dikenakan oleh IWF sebelum ini, PABM sudah membayarnya terrmasuk yang dikenakan terhadap atlet merangkumi jumlah mencecah ratusan ribu ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 7:44 PM