BANYAK kejohanan wushu peringkat antarabangsa dibatalkan termasuk kejohanan dunia yang dijadual berlangsung di China Julai depan. FOTO OSMAN ADNAN.
BANYAK kejohanan wushu peringkat antarabangsa dibatalkan termasuk kejohanan dunia yang dijadual berlangsung di China Julai depan. FOTO OSMAN ADNAN.
Mohd Amin Jalil


ATLET wushu negara kemungkinan tidak akan menyertai sebarang kejohanan terutamanya di luar negara sepanjang tahun ini, susulan kesan daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt, berkata pihaknya tidak mahu mendesak atlet dan menganggu emosi mereka dengan menyertai mana-mana kejohanan di luar negara.

“Saya baharu saja berbincang dengan ahli jawatankuasa dan kami memutuskan bahawa WFM akan fokus kepada program pembangunan bagi mempersiapkan atlet dari segi fizikal dan emosi berbanding menyertai mana-mana kejohanan sepanjang tahun ini.

“Semua atlet sedar akan risiko Covid-19 ini dan kita tidak akan bertindak mendesak atlet menyertai mana-mana kejohanan terutama di luar negara.

“Kami melihat aspek itu lebih penting kerana wabak Covid-19 ini yang melanda di lebih 150 negara di dunia sukar dijangka.

“Kita tidak mahu emosi atlet terganggu sebaliknya soal keselamatan dan emosi mereka lebih diutamakan.

“Justeru, adalah lebih baik kami tidak sertai kejohanan di luar sebaliknya fokus kepada pembangunan dalaman bagi persiapan tahun hadapan,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kim Fatt yang juga Presiden Wushu, Tarian Singa dan Naga Negeri Sembilan berkata, banyak kejohanan wushu peringkat antarabangsa sudah dibatalkan kerana Covid-19, termasuk kejohanan dunia yang dijadual akan berlangsung di China, pada Julai depan.

Malah katanya, beberapa kejohanan antarabangsa lain sama ada di peringkat senior mahupun junior turut tertangguh atau dibatalkan oleh negara tuan rumah kerana kebimbangan terhadap kesan wabak Covid-19 ini.

“Malah, Kejohanan Wushu Asia 2020 yang dijadualkan akan berlangsung di India pada November depan, juga masih samar.

“Aksi atlet wushu mungkin akan dapat dilihat pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020, jika temasya dwitahunan itu boleh diadakan pada tahun ini di Johor,” katanya.

Mengenai aktiviti atlet sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, beliau berkata, MFM mengarahkan jurulatih menyediakan latihan khas untuk atlet melakukannya di rumah masing-masing.

“Bagaimanapun ia hanya membabitkan latihan ringan dari segi kecergasan, namun dari aspek teknikal tidak boleh dilakukan kerana tiada kemudahan lengkap selain kita juga khuatir mereka akan terdedah kepada kecederaan,” katanya.

Tambah Kim Fatt, ketika ini wushu mempunyai 20,000 atlet pelbagai peringkat usia dari seluruh negara termasuk peringkat sekolah, remaja dan senior.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:30 PM