Kim Fatt (empat dari kanan) bersama barisan pegawai WFM. FOTO Ihsan WFM.
Kim Fatt (empat dari kanan) bersama barisan pegawai WFM. FOTO Ihsan WFM.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas kebenaran diberi untuk aktiviti sukan tertentu beroperasi, Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) mula mengatur langkah menggerakkan semula aktiviti sukan itu dengan tumpuan akan diberikan kepada persiapan menghadapi Sukan Sea di Vietnam, tahun depan.

Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, pihaknya sudah mula merangka program latihan bersepadu membabitkan 15 atlet wushu yang akan diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, bermula awal bulan depan.

"Sepanjang tempoh November dan Disember tahun ini akan digunakan dengan sebaik mungkin bagi mempersiapkan atlet terutama dari segi latihan awal, selepas sekian lama program itu terhenti akibat wabak pandemik Covid-19.

"Buat masa ini fokus utama persiapan kita adalah untuk menghadapi Sukan Sea di Vietnam yang dijangka diadakan pada Mei 2022.

"Setakat ini, hanya terdapat 15 atlet wushu yang berpotensi untuk diketengahkan kerana terdapat sebahagian daripada mereka sudah berundur daripada pentas saingan kerana faktor umur," katanya.

Kim Fatt yang juga Presiden Wushu, Tarian Singa dan Naga Negeri Sembilan berkata, pihaknya akan memastikan gelembung sukan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa sentiasa dipatuhi.

Menurutnya, sebagai persiapan, pihaknya merancang untuk membuat pemilihan atlet baharu bagi memperkukuhkan barisan atlet sedia ada.

Katanya, pemilihan itu dijangka akan diadakan pada awal tahun hadapan, untuk memastikan wushu mampu memberikan sumbangan terbaik kepada kontinjen negara pada Sukan Sea nanti.

"Walaupun ketika ini kita sudah kekurangan atlet berikutan program pembangunan tidak dapat dijalankan selama dua tahun akibat Covid-19, namun atlet sedia ada mampu menyahut cabaran negara.

"Bagaimanapun, mereka ini perlu segera menjalani latihan bagi meningkatkan semula tahap kecergasan dan skil persembahan," katanya.

Kim Fatt berkata, pihaknya juga merancang untuk menghantar atlet menjalani latihan di luar negara khususnya di China pada tahun hadapan, jika keadaan mengizinkan.

"Kita akan melihat perkembangan dari masa ke semasa kerana masalah Covid-19 masih belum berakhir yang membuatkan sukar bagi kita untuk melakukan apa juga persiapan," katanya.

Untuk rekod, wushu berjaya menyumbang dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada temasya Sukan Sea 2019 di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 2:17 PM