RODRIGUEZ gembira selepas meledak dua gol ketika menentang Selangor FC II. -FOTO ihsan Johor Southern Tigers.
RODRIGUEZ gembira selepas meledak dua gol ketika menentang Selangor FC II. -FOTO ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zm II (JDT II), Mariono Echeverra mengakui barisan pemainnya berdepan detik mencemaskan sebelum melakar kemenangan pada saat akhir apabila menang tipis 3-2 mengatasi Selangor FC II pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, malam tadi.

Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, walaupun menguasai keseluruhan permainan namun tampak sukar untuk menjaringkan gol yang menjejaskan rentak permainan pemainnya apabila begitu hampa tatkala gagal melakukan penyudah tepat.

"Pada babak pertama, kami bermain dengan baik tapi yang menjadi masalah apabila berada di dalam kotak penalti Kerao gagal merembat bola tepat ke gawang gol dan itu menyebabkan kita gagal menjaringkan gol sebaliknya pasukan lawan yang menjaringkan gol.

"Ketika waktu rehat saya bercakap kepada pemain supaya tenang dan tidak berputus asa malah mahu mereka beraksi mengikut perancangan taktikal yang dibuat dan sebaik babak kedua bersambung mereka turun dengan agresif dan bangkit menjaringkan dua gol.

"Tapi kami agak panik apabila pasukan lawan menyamakan jaringan pada 10 minit terakhir mengundang cemas buat kami tapi langkah saya memasukkan Gabby (Gabriel Nistelrooy) ternyata beri kesan apabila dia menjaringkan gol kemenangan buat JDT II," kata Echaverra.

Dalam pada itu, pengendali Selangor FC II, Rusdi Suparman tampak pasrah dengan kekalahan tipis yang dialami tapi berpuas hati melihat komitmen pemainnya yang mempamerkan kesungguhan untuk bersaing dengan pasukan hebat seperti JDT II.

Katanya ketiadaan sembilan pemain yang kini menjalani latihan bersama skuad Bawah 23 tahun juga memberi kesan terhadap kegagalan untuk mencipta kemenangan pada perlawanan itu tatkala terpaksa menaruh sandaran kepada pemain yang kurang

berpengalaman.

"Rata-rata pemain yang diturunkan kurang berpengalaman malah penjaring gol penyamaan iaitu Khairi (Suffian Khaineyusri) pertama kali diturunkan pada perlawanan itu dan sebab itu dia terlalu gembira menyambut gol yang dijaringkan," kata Rusdi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 1:40 PM