ZII Jia sandaran terbaik negara dalam acara perseorangan di Seluruh England.
ZII Jia sandaran terbaik negara dalam acara perseorangan di Seluruh England.
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS dua minggu berkampung di Perancis, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengharapkan pemain negara mampu mempamerkan persembahan terbaik menjelang Seluruh England minggu depan.

Menurutnya, dengan bantuan sokongan lengkap termasuk pakar fisiologi, tukang urut dan sebagainya, tidak ada alasan buat pemain untuk kurang menyerlah di kejohanan berkenaan. "Mereka harus mempersembahkan aksi pada tahap setimpal, kalau tewas pun biarlah dengan pemain ranking lebih tinggi. Bagaimanapun, kita berfikiran mereka mampu melakukan lebih dari itu (kejutkan pemain lebih baik)," katanya.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara itu tidak mahu pemain akur dengan kalah kepada pemain lebih baik tapi bersedia melakukan kejutan.

"Baru ada peningkatan jika mereka lakukan kejutan, bukan hanya tunggu apa nasib akan menimpa apabila berdepan pemain lebih kuat. Kalau dari segi latihan di dalam gelanggang semuanya sudah berjalan lancar. Mungkin ada beberapa perkara kecil yang mempunyai sedikit kekurangan. Itu yang kita perlu perbetulkan, agar mereka lebih bersedia," katanya.

Ditanya mengenai peluang Lee Zii Jia berdepan jaguh Indonesia, Jonatan Christie, Choong Hann akui peluang lebih terarah kepada pemain lawan.

"Kedudukan 45-55, memang Jonatan kurang cemerlang di Kejohanan Berpasukan Asia, tapi sebagai pemain yang matang dia mampu untuk bangkit dengan cepat. Kita tidak boleh perkecilkan Jonatan (walaupun Cheam June Wei menumpaskannya di Manila).

“Bagaimanapun, saya percaya persediaan kita sudah cukup untuk menewaskan Jonathan. Kali ini Zii Jia akan berdepan Jonatan versi lain, bukannya versi Kejohanan Berpasukan Asia. Kita juga harus percaya dengan Zii Jia untuk berdepan Jonatan versi paling terbaik," katanya.

Turut beraksi di Seluruh England ialah naib juara tahun lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen (beregu wanita), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran).

Seluruh England akan bermula 11 hingga 15 Mac di Arena Birmingham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 11:59 AM