Pemain profesional negara, Liew Daren. FOTO Ihsan BAM
Pemain profesional negara, Liew Daren. FOTO Ihsan BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Isu membabitkan Covid-19 di Seluruh England tidak menghalang pemain negara untuk turun beraksi di kejohanan berprestij itu yang akan membuka tirai malam ini.

Kesemua pemain mendapat lampu hijau untuk turun beraksi dan ia diakui sendiri oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann yang turut berada di Birmingham.

"Pemain Malaysia tidak berdepan masalah untuk turun ke gelanggang di sebalik beberapa isu membabitkan wakil negara lain yang diuji positif Covid-19.

"Sekarang kami hanya menunggu mesyuarat pengurus pasukan yang akan diadakan pada jam 10 pagi waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia)," katanya.

Jelas Choong Hann mereka sedang menunggu mesyuarat berkenaan bagi mengetahui jadual perlawanan dan semua pemain negara akan memulakan aksi hari ini.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. FOTO File NSTP

Pemain negara yang beraksi di kejohanan itu ini ialah Lee Zii Jia yang juga pilihan keenam, Liew Daren (perseorangan lelaki), Soniia Cheah, S Kisona (perseorangan wanita), Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita).

Bagi beregu campuran pula terdiri daripada Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Sebelum ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memaklumkan saingan Seluruh England yang dijadual berlangsung hari ini akan bermula lewat dengan hanya akan membuka tirainya pada jam 2 petang (10 malam waktu Malaysia).

"Keputusan sejumlah besar ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas pasukan yang bertanding dianggap tidak meyakinkan dan ujian semula perlu dilakukan," jelas BWF melalui satu kenyataan.

Badan induk itu juga mengesahkan hanya sejumlah kecil kes positif yang direkodkan dan menerusi perjanjian bersama Agensi Kesihatan Awam England, semua kes berkenaan akan menjalani ujian semula.

"Semua kes ini akan terus menjalani kuarantin sehingga mereka menjalani ujian semula," kata kenyataan itu.

BWF juga memberi jaminan badan induk itu akan terus melaksanakan semua protokol yang ditetapkan kerajaan United Kingdom dan Agensi Kesihatan Awam England bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua yang menyertai pertandingan.

Laporan media Denmark, TV 2 menyatakan bahawa, penolong jurulatih badminton negara itu, Thomas Stavngaard diuji positif Covid-19 selepas tiba di Birmingham.

Menurut laporan berkenaan, perkara itu disahkan Pengarah Sukan Denmark, Jens Meibom.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 4:13 PM