Aida Adilah Mat


RATU terjun negara, Cheong Jun Hoong mempamerkan peningkatan dalam usahanya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Tokyo Julai ini.

Juara dunia 2017 itu, bagaimanapun kesuntukan masa untuk mengejar tempoh kelayakan ke temasya terbesar itu namun peningkatan dari segi terjunan memungkinkan impian itu boleh dicapai.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio dalam acara 10m seirama bergandingan bersama Pandelela Rinong kini berlatih di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Yang Zhuling di China.

Dia dilaporkan sihat dan menjalani latihan seperti biasa biarpun wabak koronavirus baharu (Covid-19) semakin mengancam dunia.

Zhuling ketika dihubungi berkata, Jun Hoong kini menjalani latihan seperti biasa dan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Terjunan Jun Hoong semakin bagus sekarang ini dan dia mempunyai peluang cerah ke Olimpik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Malaysia (Asum), Mae Chen berkata, tiada sebarang maklumat diterima sama ada Kejohanan Piala Dunia yang akan dilangsungkan di Tokyo dari 21 hingga 27 April depan akan diteruskan atau tidak susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negara berkenaan.

Ia adalah medan terakhir buat semua penerjun memburu kelayakan ke temasya terbesar itu dengan Asum memaklumkan mereka akan membawa Jun Hoong pulang ke Malaysia dari China sekiranya kejohanan yang menjadi medan terakhir layak ke Olimpik itu diteruskan.

Ini kerana Asum akan mengadakan pemilihan dalaman dan hanya akan menghantar dua terbaik untuk menyertai acara platform.

Ketika ini, seramai empat penerjun sudah melayakkan diri iaitu Pandelela Riong (10m individu dan seirama), Leong Mun Yee (10m seirama), Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng (3m papan anjal).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:00 AM