PEMAIN Rangers meraikan kejayaan menewaskan Braga di Stadium  Municipal, Braga. FOTO AFP
PEMAIN Rangers meraikan kejayaan menewaskan Braga di Stadium Municipal, Braga. FOTO AFP
AFP

STEVEN Gerrard mengagumi persembahan terbaik Rangers selepas menang 1-0 di Braga awal pagi tadi sekali gus menempah tempat ke saingan 16 terakhir Liga Europa dengan agregat 4-2.

Kemenangan itu jelas melegakan Gerrard yang bimbang dengan prestasi pasukannya sejak beberapa minggu lalu apabila mereka ketinggalan 12 mata di belakang Celtic di puncak Liga Perdana Scotland.

Tetapi bekas kapten Liverpool itu pulang bangga selepas Ryan Kent menjaringkan gol tunggal pada babak kedua dalam aksi di utara Portugal itu dan pelawat sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.

“Sangat bangga dengan pemain saya, mereka amat cemerlang. Saya rasa prestasi mereka sempurna,” kata Gerrard. “Ini bukan nasib. Ia hasil kerja keras.”

Rangers turun tanpa penjaring terbanyak mereka Alfredo Morelos yang digantung permainan dan ketiadaan penyerang Colombia itu tampak memberi kesan apabila deretan peluang sepanjang babak pertama gagal disempurnakan.

Penggantinya Florian Kamberi membuat percubaan terlalu hampir kepada Matheus di gawang Braga sebelum Ianis Hagi – anak legenda Romania Gheorghe Hagi, menyaksikan rembatannya tersasar.

Hagi meledak dua gol pada aksi pertama di Ibrox tetapi terlepas peluang meletakkan Rangers di depan menerusi sepakan penalti yang diselamatkan Matheus.

Bekas pemain sayap Liverpool, Kent memecah kebuntuan pada minit ke-61 untuk memastikan kemenangan ke atas Braga yang belum tewas dalam 11 perlawanan domestik terakhir mereka.

Ia kemenangan pertama Rangers dalam pusingan kalah mati kejohanan Eropah sejak sembilan tahun. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 8:47 AM