TUCK masih berminat untuk menjadi pemain naturalisasi di Malaysia. FOTO Ihsan Media MBTerengganu
TUCK masih berminat untuk menjadi pemain naturalisasi di Malaysia. FOTO Ihsan Media MBTerengganu
Malik Muhamad


ARKITEK Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui 'panas’ dan tidak senang duduk selepas mengetahui pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi sah bergelar pemain naturalisasi Malaysia.

Pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu menyatakan dia begitu teruja untuk mengikut jejak pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) menyarung jersi skuad kebangsaan andai semua syarat yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lengkap sepenuhnya.

Pada 3 Februari lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Liridon sudah mendapat kerakyatan Malaysia melalui penaturalisasian selepas menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya sekali gus menjadi pemain naturalisasi kedua Harimau Malaya selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh yang mendapat status itu pada 2018.

“Selepas mendapat perkhabaran Liridon menjadi pemain naturalisasi kedua Malaysia, saya begitu gembira dan ucap tahniah kepadanya kerana berjaya menjadi pemain naturalisasi.

“Jika ditanya, ya saya masih berminat untuk menjadi pemain naturalisasi di Malaysia dan berharap ia menjadi kenyataan pada satu hari nanti selepas semua dokumen dan syarat lengkap.

“Buat Liridon, ini peluang yang baik untuknya, namun dia perlu bekerja lebih keras memberikan aksi terbaik untuk Malaysia kerana sudah pasti harapan besar disandarkan kepadanya,” katanya.

Pemain berusia 32 tahun itu mula beraksi dalam kancah bola sepak tempatan dengan mewakili Negeri Sembilan pada 2017 selama semusim sebelum menyertai Terengganu bermula 2018 hingga kini.

Peluang Tuck untuk mendapat taraf kerakyatan Malaysia dijangka tidak berdepan banyak masalah kerana memiliki pertalian darah kerana dikhabarkan neneknya berasal dari Malaysia.

Namun jika pemain tengah itu gagal mengemukakan bukti pertalian itu, pemain yang pernah menyarung jersi kelab Bangkok FC dan Nakhon Ratchasima di Thailand itu perlu menunggu sehingga 2022 untuk cukup tempoh lima tahun berturut-turut beraksi di Malaysia sebelum layak menjadi pemain naturalisasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 1:30 PM