HUBUNGAN Khabib (kanan) dan McGregor sentiasa tegang. FOTO Agensi
HUBUNGAN Khabib (kanan) dan McGregor sentiasa tegang. FOTO Agensi
Agensi

PENGURUS Khabib Nurmagomedov, Ali Abdelaziz menyindir Conor McGregor apabila menegaskan satu-satunya peluang untuk bintang yang digelar ‘mulut sampah’ itu bertemu dengan Khabib adalah menerusi perlawanan di atas jalanan.

“Satu-satunya perlawanan itu akan berlaku adalah di atas jalanan. McGregor pasti akan melakukan sesuatu yang luar biasa. McGregor adalah bintang kerana dia salah seorang yang amat teruk,” katanya.

Hubungan Khabib dan McGregor sentiasa tegang dengan McGregor menghina keluarga dan agama Islam yang dianuti oleh Khabib menjelang perlawanan membabitkan kedua-dua petarung itu pada 2018 yang menyaksikan Khabib muncul pemenang.

Khabib dilihat gagal mengawal kemarahannya selepas perlawanan itu apabila menyerang kem McGregor.

McGregor baru-baru ini mengakui dia bersikap agak keterlaluan menjelang perlawanan dengan Khabib dua tahun lalu.

Ali Abdelaziz menegaskan, Khabib dan McGregor tidak akan berdamai dan menjadi sahabat yang baik dalam tempoh terdekat.

“Lebih baik bersikap jujur. Kami tidak pernah dan sama sekali tidak akan menyukai McGregor. Mungkin setiap kali apabila kami bertemu dengannya, akan berlaku masalah.

“Dia bercakap mengenai keluarga, agama dan keturunan Khabib. Dia sudah melampau dan anda tidak boleh melampaui batas apabila bercakap dengan Khabib.

Abdelaziz berkata, walaupun perlawanan semula akan menyaksikan kedua-dua petarung itu memperoleh bayaran cukup lumayan, namun Khabib langsung tidak berminat untuk bertemu McGregor.

“Wang bukan segala-galanya untuk Khabib,” katanya.

Bagaimanapun Presiden Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White menerusi komen terbarunya berkata: “McGregor tidak akan bertemu sesiapa selepas ini. Fokusnya hanya pada Khabib. Dia mahukan perlawanan dengan Khabib.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 10:54 PM