KEADAAN bumbung Stadium Shah Alam yang kelihatan bocor. FOTO Owee Ah Chun
KEADAAN bumbung Stadium Shah Alam yang kelihatan bocor. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) digesa merujuk isu bumbung berlubang di Stadium Shah Alam kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mendapatkan pengesahan berhubung keselamatan venue berkenaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pengesahan itu penting bagi membolehkan kelulusan diberikan kepada pasukan Selangor untuk beraksi di stadium itu.

“Kalau boleh kita minta FAS untuk dapatkan kepastian daripada teknikal seperti JKR ataupun badan-badan perbadanan yang secara teknikalnya stadium itu mengatakan bumbung itu boleh (selamat).

“Saya ada terbaca mengatakan bumbung berkenaan tidak macam atap atau zink seperti dulu. Ia cuma atap polycarbonate yang ringan dan boleh hancur mengikut tempoh dalam 10 tahun.

“Stadium Shah Alam ini (dibina) tahun 1994 dan tempoh itu dah melangkaui jaminan kepada bumbung itu,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian penajaan bersama CIMB di sini, hari ini.

Begitupun jelasnya, penyokong skuad Red Giants tidak perlu bimbang kerana stadium keramat Merah Kuning itu tetap akan menjadi lokasi rasmi perlawanan buat anak buah B Sathianathan musim ini.

Jelasnya, aspek lain seperti permukaan padang dan kemudahan lain jelas menepati syarat kelulusan badan penganjur liga tempatan itu.

“InsyaAllah (akan luluskan) dan MFL akan datang melihat sekali lagi meninjau stadium itu. Selepas perkara ini keluar, saya sudah berhubung dengan FAM dan pihak lain, stadium itu boleh digunakan cuma bumbung saja dan perkara itu kita boleh atasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 6:58 PM