Mikel Arteta (kanan) dan Eddie Nketiah (tengah) ketika perlawanan menentang Leeds. -FOTO EPA
Mikel Arteta (kanan) dan Eddie Nketiah (tengah) ketika perlawanan menentang Leeds. -FOTO EPA
AFP

London: Mikel Arteta menyifatkan pertemuan menentang Tottenham pada Khamis ini sebagai 'detik penentu' mereka musim ini yang kini berusaha mengejar tempat ke Liga Juara-Juara.

Dua gol dari Eddie Nketiah memastikan kemenangan 2-1 ke atas pasukan yang kini sedang bergelut Leeds untuk membawa Arsenal menghampiri saingan elit itu selepas lima tahun tercicir.

Arsenal kini empat mata mengatasi pasukan di tangga kelima Tottenham dan masih mempunyai tiga perlawanan untuk kedua-dua pasukan.

Kemenangan dalam pertembungan penting bertemu Tottenham sudah cukup memastikan tempat buat mereka dalam saingan Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2017 dan pengendali Gunners, Arteta pasti tidak akan melepaskan peluang itu.

"Kami akan ke perlawanan itu dengan semangat yang sama seperti yang kami selalu lakukan terutama ketika mengetahui bahawa ia adalah detik penentu," kata Arteta.

"Ia boleh menjadi satu lagi motivasi buat kami melakukannya. Saya tidak sabar untuk perlawanan itu.

"Kami mempunyai peluang terbaik dalam perlawanan itu. Kami memulakan musim dengan sembilan atau 10 pemain diketepikan dan bermain dengan dua pasukan terbaik di Eropah."

Ketika Arsenal optimis untuk melakarkan kejayaan pada penghujung musim yang akan diingati, Leeds kini bergelut untuk memastikan mereka keluar dari zon penyingkiran selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Leeds kini di bawah Burnley menerusi perbezaan gol akan menerima kunjungan Chelsea Rabu ini sebelum menamatkan perlawanan menentang Brighton dan Brentford.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 8:07 AM