Penjaga gol Schalke, Alexander Nuebel (tengah) dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Eintracht. FOTO AFP
Penjaga gol Schalke, Alexander Nuebel (tengah) dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Eintracht. FOTO AFP
Reuters

PENJAGA gol Schalke 04, Alexander Nuebel digantung empat perlawanan dan didenda kerana melakukan aksi terjahan keras ala kung-fu terhadap pemain Eintracht Frankfurt, Mijat Gacinovic yang menyebabkannya menerima kad merah, menurut Persatuan Bolasepak Jerman.

Pemain muda kebangsaan Jerman berusia 23 tahun dan kapten Schalke bertindak keluar daripada gawang gol dan cuba menyepak bola keluar, tetapi dengan rembatan kuat menyebabkan kakinya bertembung dada pemain tengah Frankfurt pada perlawanan yang berlangsung pada Ahad.

Gacinovic terbaring kesakitan di atas padang dan terdapat beberapa kesan calar di bahagian rusuk dan antara celah dada, sementara pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada Nuebel. Schalke memenangi perlawanan itu 1-0.

Nuebel tidak akan beraksi sehingga penghujung Januari, dengan liga berehat untuk musim sejuk selepas hujung minggu ini dan bersambung semula pada pertengahan Januari. Dia turut didenda 12,000 Euro kerana insiden itu.

Gacinovic kemudian berkata ia berlaku secara tidak sengaja dan dia tidak menyalahkan penjaga gol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 11:10 PM