KECEDERAAN Riedewald bimbangkan Hodgson. — FOTO cpfc.co.uk
KECEDERAAN Riedewald bimbangkan Hodgson. — FOTO cpfc.co.uk
Reuters

PENGURUS Crystal Palace, Roy Hodgson mendedahkan beliau cuba memujuk pemilik kelab Liga Perdana Inggeris itu dari Amerika Syarikat supaya mengeluarkan wang untuk mengukuhkan skuadnya yang dilanda kecederaan pada jendela perpindahan bulan depan.

Palace melonjak ke tangga kesembilan selepas seri 1-1 dengan Brighton, perlawanan yang mana Jairo Riedewald dikeluarkan ketika rehat selepas mengalami kecederaan pinggul yang berulang.

Kelab London itu sudah kehilangan beberapa pemain, termasuk pertahanan kiri Patrick van Aanholt dan Jeffrey Schlupp, pertahanan tengah Gary Cahill dan pemain sayap Andros Townsend susulan kecederaan manakala pertahanan tengah Mamadou Sakho digantung perlawanan.

“Kami tidak begitu aktif dalam pasaran perpindahan,” kata Hodgson. “Saya cuba memujuk pemilik dari Amerika ini sesuatu yang kami perlu lakukan.

HODGSON (kanan) mengucapkan tahniah kepada pertahanan James Tomkins selepas aksi awal pagi tadi. — FOTO AFP
HODGSON (kanan) mengucapkan tahniah kepada pertahanan James Tomkins selepas aksi awal pagi tadi. — FOTO AFP

“Saya fikir kami perlu melakukannya pada musim panas lalu namun kami tidak berjaya mendapat pemain yang difikirkan mampu menguatkan skuad kami ketika itu. Tiada apa yang berubah, ia masih perkara sama yang saya cakapkan dan mahu kami meningkat.”

Hodgson berkata, pengerusi Palace, Steve Parish, yang menjadi sebahagian pemilik di samping dua warga AS, David Blitzer dan Joshua Harris, memahami kepentingan untuk mengukuhkan pasukan.

“Saya hanya berharap antara kami dan pemilik dari AS kami boleh mencari jalan untuk mengeluarkan wang kerana saya tidak fikir kami boleh mendapat pemain berkualiti diperlukan dengan perpindahan percuma dan pinjaman pemain,” katanya.

Aksi berikutnya Palace adalah kunjungan ke pasukan tangga ke-11, Newcastle United, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 1:52 PM