SALAH didakwa berpura-pura dikasari dalam perlawanan antara Liverpool dan Crystal Palace. Foto REUTERS
SALAH didakwa berpura-pura dikasari dalam perlawanan antara Liverpool dan Crystal Palace. Foto REUTERS
AFP

MOHAMED Salah didakwa berpura-pura dikasari ketika bintang Liverpool itu mendapatkan penalti kontroversi yang mencetus kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace.

Palace yang turut menyaksikan seorang pemainnya dibuang padang mendakwa Salah sengaja menjatuhkan dirinya di dalam kotak penalti di akhir babak pertama di Selhurst Park.

Pengadil Michael Oliver memberikan sepakan penalti selepas pemain sayap Mesir itu dikasari Mamadou Sakho dan James Milner menyempurnakan sepakan untuk gol pertama Liverpool.

Lebih malang lagi buat Palace, Aaron Wan-Bissaka dibuang padang di babak kedua kerana menjatuhkan Salah.

Skuad kendalian Jurgen Klopp menggunakan kelebihan itu untuk memastikan kemenangan 100 peratus pada permulaan kempen Liga Perdana Inggeris dengan gol kedua jaringan Sadio Mane dalam masa kecederaan.

Pengendali Palace, Roy Hodgson yang berang dengan penalti berkenaan berkata: “Saya kecewa kerana saya rasai ia bukan penalti. Ia mencetus kemarahan dan kekecewaan.

“Saya sudah lama dalam bola sepak. Jika ia adalah penalti maka permainan ini sudah berubah sepenuhnya. Sakho adalah pertahanan dan dia akan cuba untuk bertahan.

“Tidak mungkin dia cuba untuk mengasari pemain itu. Liverpool tidak sepatutnya berada di depan.”

Klopp pula cuba mengelak daripada menjawab kontroversi itu dengan mengatakan dia tidak melihat insiden berkenaan.

“Saya tidak tanya Mo mengenainya. Saya tidak melihatnya. Ia kelihatan seperti penalti, tetapi saya tidak tahu,” kata Klopp.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 7:28 AM