SKUAD ragbi lelaki negara bersama pingat perak  selepas tewas di tangan tuan rumah. FOTO KRM
SKUAD ragbi lelaki negara bersama pingat perak selepas tewas di tangan tuan rumah. FOTO KRM
Meor Riduwan Meor Ahmad


KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) akan mengadakan 'bedah siasat' dalam masa terdekat susulan kegagalan skuad ragbi tujuh sebelah negara mencapai sasaran ditetapkan di Sukan Sea Filipina.

Presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, banyak faktor dikaitkan punca kegagalan skuad lelaki mempertahankan pingat emas begitu juga skuad wanita kandas ke final.

Begitupun, katanya secara keseluruhan pencapaian skuad negara masih membanggakan. "Kita akan bedah siasat untuk kenal pasti faktor luaran dan dalaman. Sejak awal tahun lagi kita sedar Filipina akan menggunakan pemain berpangkalan di luar iaitu di England, Australia dan New Zealand.

SKUAD ragbi wanita meraih gangsa. FOTO KRM
SKUAD ragbi wanita meraih gangsa. FOTO KRM

"Saya difahamkan skuad kali ini hanya seorang pemain berpangkalan di Filipina kerana peraturan negara itu membenarkan dwi kerakyatan. Namun kita tidak mahu jadikan itu alasan, sebaliknya melihat dari segi kekuatan dan kelemahan pasukan yang perlu dibaiki untuk bergerak ke hadapan," katanya dihubungi semalam.

Shahrul Zaman berkata kehadiran pemain luar itu memberi kelebihan ketara kepada tuan rumah dari segi taktikal permainan serta fizikal tetapi persembahan pemain negara lebih baik berbanding pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Skuad lelaki memenangi perak selepas tewas 0-19 kepada kepada Filipina manakala pasukan wanita mengulangi pencapaian 2017 dengan meraih gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 12:54 PM