ZLATAN Ibrahimovic sah sertai LA Galaxy dari Manchester United. - Foto AFP
ZLATAN Ibrahimovic sah sertai LA Galaxy dari Manchester United. - Foto AFP

ZLATAN Ibrahimovic berkata dia bersedia untuk menjulang trofi bersama Los Angeles Galaxy selepas mengesahkan perpindahannya ke kelab Liga Bolasepak Major (MLS) itu dari Manchester United.

Peledak berusia 36 tahun dari Sweden itu meninggalkan United, hari ini selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bersetuju untuk menamatkan kontraknya.

“Selepas berada di Eropah, memenangi 33 trofi, bermain dengan pasukan-pasukan terbaik di dunia, bermain bersama pemain-pemain terbaik di dunia, saya mahu datang ke Amerika Syarikat dan menampilkan permainan saya di sini,” kata Ibrahimovic ketika temuramah bersama LA Times.

“Saya mahu orang ramai menikmati permainan saya di sini dan mahu menang. Dan saya memilih Galaxy untuk melakukannya.”

Belum ada pengesahan secara rasmi daripada Galaxy mengenai perpindahan berkenaan tetapi presiden kepada syarikat hiburan gergasi AEG, Dan Beckerman yang menjadi syarikat induk kepada Galaxy berkata Ibrahimovic akan menjadi salah satu bintang terbesar di bandaraya Hollywood berkenaan.

“Dia melepaskan banyak perkara untuk datang ke sini,” kata Beckerman kepada LA Times. “Dia menyatakan dengan jelas dia datang ke sini untuk memenangi kejuaraan. Ia bukannya disebabkan oleh wang.

“LA adalah tempat untuk para bintang, dan dia akan menjadi salah satu bintang paling bersinar yang pernah bermain di pasaran ini. Daripada kesemua jenis sukan.”

Ibrahimovic yang menjaringkan 62 gol dalam 116 penampilan untuk Sweden dan menjuarai liga domestik di Itali, Belanda, Sepanyol dan Perancis dilaporkan menerima AS$3 juta (RM11.74 juta) untuk bermain selama dua musim bersama Galaxy.

Ia jelas pemotongan gaji yang amat besar berbanding pendapatan yang diperolehnya di United.

Ibrahimovic yang mengharungi tempoh mendukacitakan di Old Trafford selepas dipalit beberapa siri kejuaraan dan hanya bermain dalam tujuh perlawanan musim ini berkata dia bersedia untuk beraksi.

“Saya sudah bersedia,” kata Ibrahimovic. “Pertama sekali, saya berada di sini untuk bermain bola sepak. Saya tidak berada di sana untuk perkara yang lain. Objektif pertama saya adalah untuk bermain bola sepak dan melakukan apa yang saya bagus lakukan.” - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 11:04 PM