HIGUAIN (dua kanan) menjaringkan gol kemenangan Juve di San Siro. — FOTO Reuters
HIGUAIN (dua kanan) menjaringkan gol kemenangan Juve di San Siro. — FOTO Reuters
AFP

GONZALO Higuain meledak gol kemenangan ketika Juventus mencipta kekalahan pertama Inter Milan dalam Serie A musim ini dengan kemenangan 2-1 yang membantu juara bertahan itu kembali ke puncak carta, awal pagi tadi.

Pemain gantian Higuain merembat masuk pada minit ke-80 selepas rakan senegara dari Argentina, Paulo Dybala membuka tirai jaringan pada minit keempat di San Siro.

Seorang lagi penyerang Argentina, Lautaro Martinez menyamakan kedudukan buat Inter menerusi sepakan penalti pada minit ke-18, namun jurulatih Antonio Conte kalah pertembungan pertama menentang bekas kelabnya sejak meninggalkan Juve untuk mengemudi pasukan kebangsaan Itali pada 2014.

Juventus melonjak satu mata di depan Inter selepas tujuh perlawanan ketika mereka menyasarkan untuk meraih kejuaraan kesembilan berturut-turut dan yang pertama di bawah jurulatih Maurizio Sarri.

DYBALA (kanan) membuka tirai jaringan buat Juventus. — FOTO EPA
DYBALA (kanan) membuka tirai jaringan buat Juventus. — FOTO EPA

“Merampas kedudukan tangga teratas tidak begitu penting ketika ini,” kata Sarri, bekas bos Chelsea.

“Lebih penting kami mempamerkan persembahan dengan karakter dan personaliti menentang pasukan kuat dalam suasana tegang. Kami berhak menang.”

“Juve membuktikan kekuatan sebenar mereka,” kata Conte, yang melatih kelab gergasi Turin itu bagi tiga kejuaraan pertama daripada lapan berturut-turut.

“Tahniah kepada mereka, kami perlu lebih berhati-hati selepas ini,” ujar Conte yang mana pasukannya kalah aksi Liga Juara-Juara 2-1 di tangan Barcelona pada pertengahan minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 11:11 AM