ABDUL  Latif  (tengah) menyampaikan hadiah kepada Metro Rangers. -  FOTO Asrizal Aris
ABDUL Latif (tengah) menyampaikan hadiah kepada Metro Rangers. - FOTO Asrizal Aris
Iskandar Shah Mohamed


HARIAN Metro (HM) menerusi pasukan Metro Rangers mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut pada Kejohanan Bowling Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) & Media yang berlangsung di Ampang Superbowl, E-Curve, hari ini.

HM yang dianggotai Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Iskandar Shah Mohamed, Asrizal Aris dan Sharifah Omar mengumpul 1,859 jatuhan pin untuk muncul johan kategori berkumpulan sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 serta piala.

Naib juara pula dimenangi pasukan TV3 dengan 1,852 jatuhan pin manakala TV9 menduduki tempat ketiga (1,777) dengan masing-masing menerima RM800 dan RM500 serta piala. Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, objektif kejohanan memasuki tahun ketiga itu bertujuan merapatkan hubungan dan menghargai media yang menyalurkan informasi termasuk berkaitan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.

"Saya berharap media terus bekerjasama mengembangkan lagi isu positif mengenai pembangunan negara menerusi program anjuran MPC, rakan industri dan sektor awam," katanya ketika berucap merasmikan kejohanan itu.

Sebanyak 24 pasukan mewakili media cetak dan elektronik menyertai pertandingan tiga pusingan itu termasuk Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST).

Selain hadiah utama dan saguhati, kejohanan itu dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah dan jumlah balingan tertinggi individu lelaki serta wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:29 PM