Kuala Lumpur: Atlet bowling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara Terbuka Wanita Kejohanan Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-38 di Mega Lanes, Sunway Pyramid, Bandar Sunway, semalam.

Syaidatul Afifah menundukkan pemain pelapis negara Nur Syazwani Sahar 1-0 pada saingan final step-ladder kategori wanita untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan trofi.

Atlet berusia 24 tahun itu menewaskan Nur Syazwani 213-205 jatuhan pin. Terdahulu Nur Syazwani mengalahkan seorang lagi atlet pelapis Nur Amirah Auni Azman, 218-209 pada separuh akhir step-ladder.

Syaidatul Afifah meraih tiket final step-ladder selepas mendahului pusingan kedua pagi tadi, dengan catatan jumlah 1,884 jatuhan pin.

“Kemenangan ini menambahkan keyakinan saya untuk menampilkan prestasi lebih baik jika terpilih ke Sukan SEA Singapura, Jun ini. Saya harap dapat membuat penampilan di Sukan SEA.

“Walaupun saingan saya adalah pemain pelapis tetapi dia cukup bagus. Bagi saya dalam sukan bowling, senior atau junior tiada beza, jika pemain itu memberikan prestasi terbaik, mereka akan menang,” katanya.

Syaidatul Afifah pernah muncul juara Terbuka Kuala Lumpur 2014 dan meraih pingat emas acara beregu Kejohanan Tenpin Bowling Asia 2014.

Pemain bowling Korea Selatan, Park Jong Woo pula membuat kejutan pada penampilan pertama di Terbuka Malaysia dengan menewaskan Sam Cooley dari Australia untuk merangkul kejuaraan kategori lelaki pada final step-ladder.

Jong Woo bagaimanapun tewas kepada Cooley pada perlawanan pertama 191-245 jatuhan pin namun beroleh kemenangan pada perlawanan seterusnya dengan balingan 226-172 jatuhan pin.

Walaupun terikat 1-1, Jong Woo berkelebihan selaku pemain pilihan selepas mendahului pusingan kedua.

Tewas pada perlawanan pertama final step-ladder tidak menghalangnya untuk muncul juara.

Pada pusingan kedua, Jong Woo mencatat 1,860 jatuhan pin mendahului Cooley di kedudukan kedua, 1,859 dan atlet negara Muhd Rafiq Ismail, 1,856 ketiga.

Kemudian, Cooley menewaskan Muhd Rafiq pada separuh akhir step-ladder 246-237 untuk melayakkan diri ke final step-ladder bertemu Jong Woo.

Jong Woo tidak menyangka mara ke final Terbuka Malaysia.

“Ini penyertaan sulung saya di Terbuka Malaysia dan sebab itu saya tidak sangka ke final. Selepas menyaksikan aksi separuh akhir antara Sam dan Rafiq, saya tahu laluan buat saya sukar.

“Saya berasa gementar dan tertekan selepas kalah pelawanan pertama,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 9:04 AM