SEBAHAGIAN pemenang  Kejohanan Bowling Tertutup Belia 4B Kuala Jempol ceria.
SEBAHAGIAN pemenang Kejohanan Bowling Tertutup Belia 4B Kuala Jempol ceria.

Seremban: Gandingan mantap dipamerkan pasukan Berdhobin Jatuh Eh membolehkan mereka mengenepikan 20 pencabar lain untuk menjuarai Kejohanan Bowling Tertutup Belia 4B Kuala Jempol 2016 yang berlangsung di Ampang Superbowl, Seremban Prima, baru-baru ini.

Pasukan yang diwakili Rafizah Ruslan, Ariesha Mohamed, Muhammad Nur Hadi Hassan Nuar dan Helmi Ejan Zakid itu melakukan 1,431 jatuhan pin dalam perlawanan tiga pusingan.

Tempat kedua diraih Pengolan Panjang yang membabitkan gandingan Mohd Fadhli Hassan, Mona Mohamad, Abu Abdullah Yusuf Azzam dan Zul Fadhil selepas melakukan 1,355, jatuhan pin.

Pasukan Koyok Mak Amek yang membabitkan gandingan Razwan Ruslan, Mohd Fakharuddin, Siti Ayuni Ahmad dan Mohd Taufik Abdullah pula menduduki tempat ketiga selepas merakam 1,290 jatuhan pin.

Setiap pemenang masing-masing membawa pulang hamper, aksesori kediaman dan cenderahati.

Kejohanan anjuran Belia 4B Cawangan Kuala Jempol itu disertai 50 pemain berusia antara 15 hingga 60 tahun yang membabitkan ahli belia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Ketua Kelab Belia 4B kampung Amir Sharizat Mohd Azizan berkata, kejohanan itu sebahagian daripada aktiviti hujung tahun kelab dalam usaha merapatkan hubungan selain menyemai minat ahli dalam kegiatan sukan.

Katanya, pihaknya mendapati ramai kalangan ahli yang berbakat dalam sukan bowling dan boleh diketengahkan sebagai wakil ke peringkat lebih tinggi.

“Ramai kalangan ahli yang berbakat dalam sukan ini dan saya percaya pertandingan sebegini dapat memberi rangsangan kepada mereka untuk meningkatkan lagi permainan.

“Kami bercadang mewujudkan pasukan yang lebih mantap bagi menyertai lebih kejohanan pada masa depan terutama di peringkat negeri,” katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Amir dan Setiausaha JKKK kampung Muhammad Musfari Mustafa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:06 AM