MOURINHO sah kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas pemecatan pengurus Spurs, Pochettino. FOTO Reuters
MOURINHO sah kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas pemecatan pengurus Spurs, Pochettino. FOTO Reuters
Agensi

JADI, The Special One sudah kembali.

Jose Mourinho dilantik sebagai pengurus Tottenham hari ini, kurang 24 jam selepas pemecatan Mauricio Pochettino.

Dia bakal berdepan ujian getir pertama di kelab London Utara itu dengan pertembungan membabitkan bekas kelabnya Chelsea dan Manchester United menjelang Krismas.

Mourinho akan memulakan tugasnya dalam aksi Liga Perdana Inggeris di West Ham Sabtu ini dan tiga hari selepas itu beliau akan diperkenalkan kepada penonton Spurs buat kali pertama apabila melayan kunjungan Olympiakos dalam aksi Liga Juara-Juara.

Spurs kemudiannya akan menanti Bournemouth pada 30 November.

Dalam tempoh dua minggu selepas menggalas jawatan itu, Mourinho akan kembali ke Old Trafford pada 4 Disember bersama kelab barunya, 12 bulan selepas dipecat Manchester United.

Pengurus berusia 56 tahun itu membawa United menjulang gelaran Piala Liga dan Liga Europa selepas menggantikan Louis van Gaal pada Mei 2016.

Namun corak permainannya gagal memikat penyokong dan selepas membelanjakan £400 juta (RM2.15 bilion) untuk membeli pemain baharu, beliau dipecat pada Disember 2018 dengan kelab itu ketinggalan 19 mata berbanding pendahulu Liga Perdana, Liverpool.

Selepas berdepan bekas kelabnya, Mourinho kemudian memimpin Tottenham berdepan Burnley sebelum bertandang ke Bayern Munich, untuk aksi terakhir kumpulan Liga Juara-Juara.

Tottenham kemudiannya menentang Wolves pada 15 Disember sebelum menentang satu lagi bekas kelabnya, Chelsea.

Mourinho mengendalikan Blues sebanyak dua kali, menjuarai tiga gelaran Liga Perdana dan menjadi pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab itu.

Mourinho menjulang lapan gelaran liga di seluruh Eropah, dua kali menjulang Liga Juara-Juara dan Liga Europa dan sejumlah piala di England, Itali, Sepanyol dan Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 6:46 PM