NADAL bersama trofi Piala Rogers selepas menewaskan  Medvedev di  Montreal. - FOTO EPA
NADAL bersama trofi Piala Rogers selepas menewaskan Medvedev di Montreal. - FOTO EPA
Reuters

PILIHAN utama, Rafa Nadal menewaskan pemain Russia, Daniil Medvedev 6-3, 6-0 untuk menjulang gelaran kelima Piala Rogers di Montreal, awal pagi tadi -- kali pertama dia melakukannya di atas permukaan bukan tanah liat.

Pemain nombor dua dunia berusia 33 tahun dari Sepanyol itu tiada masalah berdepan pilihan kelapan, Medvedev dalam pertemuan kali pertama mereka.

Pemain Rusia itu tidak kehilangan set dalam kejohanan ini tetapi jelas bukan tandingan Nadal yang menyelamatkan mata ‘break’ pada ‘game’ pertama dan terus yakin mengatasi Medvedev yang 10 tahun lebih muda.

"Dia bermain dengan sangat baik sepanjang minggu dan penting dia tidak mengambil peluang pada awalnya,” kata Nadal selepas tamat perlawanan.

"Kemudian saya fikir saya bermain dengan sangat baik, mungkin yang terbaik sepanjang minggu ini.”

Nadal mematahkan servis pemain Russia pada ‘game’ keempat untuk mendahului 3-1 dan terus mendominasi perlawanan yang mengambil masa 70 minit.

Menang 82% daripada servis pertama dan pukulan kilas yang sering memerangkap Medvedev, bintang Sepanyol itu tiga kali mematahkan servis lawan di set kedua sebelum mengesahkan kemenangan sekali gus gelaran ke-35 di peringkat Masters 1000.

Bagaimanapun, Nadal belum pasti beraksi di Masters Cincinnati minggu ini di mana dia menjadi pilihan kedua di belakang pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic.

"Saya tak tahu. Saya perlu bertanya kepada pasukan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 9:31 AM