NADAL membalas pukulan Schwartzman ketika aksi Terbuka Australia. -Foto AFP
NADAL membalas pukulan Schwartzman ketika aksi Terbuka Australia. -Foto AFP
AFP

MELBOURNE: Pemain Sepanyol, Rafael Nadal bertarung hebat menentang wakil Argentina, Diego Schwartzman untuk menang seterusnya layak ke suku akhir Terbuka Australia hari ini, memastikan dia terus kekal selaku pemain nombor satu dunia selepas tamat kejohanan.

Nadal diheret ke saingan empat set berlangsung hampir empat jam sebelum menang 6-3, 6-7 (4/7), 6-3, 6-3 di Rod Laver Arena.

Ia akan menjadi suku akhir ke-10 buatnya pada Terbuka Australia, hanya kedua di belakang Roger Federer, dan dia dijadual berdepan pilihan keenam dari Croatia, Marin Cilic. Nadal mendahului 5-1 dalam pertemuan mereka sebelum ini.

Ia adalah kemenangan keempat pemain Sepanyol itu ke atas Schwartzman namun paling sukar ialah ketika menewaskan lawannya itu pada pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2015.

Kemenangan itu memastikan Nadal kekal di kedudukan Nombor 1 apabila ranking terbaharu dikeluarkan sehari selepas tamat kejohanan berkenaan.

“Sudah tentu saya rasa sedikit keletihan, tapi ia bagus. Saya mampu bertarung hingga penamat,” katanya.

“Ia adalah perlawanan besar pertama saya pada 2018. Saya bermula lambat berbanding sebelum ini, jadi pertemuan seperti ini mungkin membantu kerana anda tahu ia boleh menaikkan keyakinan saya.

“Keyakinan itu berdasarkan saya kini tahu boleh menahan tekanan hampir empat jam di gelanggang pada saingan yang sangat bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 8:03 PM