Penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) menjaringkan gol pembukaan berdepan Wolves di Stadium Emirates, London. FOTO Reuters
Penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) menjaringkan gol pembukaan berdepan Wolves di Stadium Emirates, London. FOTO Reuters
Agensi

UNAI Emery meninggalkan padang dalam keadaan hampa dan kecewa selepas Arsenal beraksi tiga perlawanan terakhir tanpa kemenangan ketika seri 1-1 di gelanggang sendiri berdepan Wolves, awal pagi ini.

Tandukan Raul Jimenez 14 minit sebelum tamat permainan bermakna Arsenal hanya menang satu perlawanan dalam lima perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan, ia ketika mengatasi Vitoria Guimaraes dalam saingan Liga Europa.

Jaringan ke-50 Pierre-Emerick Aubameyang bersama Arsenal meletakkan Gunners di depan namun terlepas peluang memperoleh tiga mata selepas mendahului perlawanan.

Minggu lalu menyaksikan Arsenal mendahului 2-0 pada 10 minit pertama perlawanan di laman sendiri berdepan Crystal Palace, begitupun barisan kendalian Emery mensia-siakan peluang selepas Palace berjaya menyamakan kedudukan.

“Ya, ia amat mengecewakan,” kata Emery.

“Saya fikir pemain sudah mencuba dan kami menjaringkan gol pertama, tetapi kami perlu gol kedua untuk lebih yakin.

“Wolves beraksi konsisten dalam perlawanan ini sehingga berjaya menyamakan kedudukan. Ia perlawanan seimbang dan mungkin kami berhak memperoleh lebih dari itu.

“Saya sangat kecewa kerana kami tercicir mata di laman sendiri seperti kami lakukan tahun lalu.

“Kami boleh mengimbangi pertahanan dengan baik. Tetapi perkara utama adalah mempunyai banyak peluang yang perlu dimanfaatkan untuk memberi kelebihan kepada pasukan.

“Saya menagih keputusan terbaik buat diri sendiri dan kami harus kembali dengan perlawanan yang lebih baik.”

Wolves bermula cemerlang dengan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan awal musim ini namun Nuno Espirito Santo merasakan pasukan kendaliannya mungkin lebih berkesan pada penghujung babak permainan.

“Saya fikir kami bermula sangat baik dalam 15 minit pertama dan harus menghukum lawan,” kata Nuno.

“Kami mempunyai peluang terbaik pada separuh masa kedua dan menamatkan perlawanan dengan keputusan seri malah boleh mengatasi lawan ketika kami menguasai perlawanan. Kami seharusnya lebih tajam di barisan serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 1:34 PM