KING ledak gol kemenangan Bournemouth. FOTO Reuters
KING ledak gol kemenangan Bournemouth. FOTO Reuters
AFP

KEBANGKITAN mini Manchester United tersekat apabila jaringan Josh King pada masa kecederaan babak pertama membantu Bournemouth menang 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris dalam cuaca buruk di pantai selatan England, malam ini.

Anak buah Ole Gunnar Solskjaer tidak menang di gelanggang lawan sejak Mac lalu hinggalah 10 hari lalu, namun tiga kemenangan berturut-turut di laman lawan di Partizan Belgrade, Norwich dan Chelsea menyaksikan mereka layak ke suku akhir Piala Liga pada pertengahan minggu yang memberi bayangan titik perubahan buat pengendali dari Norway itu.

Sebaliknya, kegagalan itu menggambarkan musim mereka dan jelas kekeringan gol menjadi penghalang dan satu detik kesilapan bertahan mencetus kekalahan keempat dalam 11 perlawanan Liga Perdana.

Pelawat bermula lebih bagus ketika kedua-dua pasukan bergelut untuk beraksi baik dalam cuaca buruk hujan lebat serta berangin.

Daniel James terlepas peluang menerusi percubaan jarak jauh yang sedikit tersasar manakala rayuan Anthony Martial untuk mendapatkan penalti tidak diendahkan.

Bournemouth memastikan kemenangan sejurus sebelum rehat apabila King, yang memulakan kariernya di England bersama United selepas diperkenalkan kepada Alex Ferguson oleh Solskjaer, tampil untuk menghantui bekas majikannya.

Penyerang Norway itu memperdaya pertahanan United, Victor Lindelof dan Aaron Wan-Bissaka sebelum merembat masuk melepasi jangkauan David de Gea.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 10:57 PM