WAN-BISSAKA ketika menghadiri latihan England di St George’s Park di Burton-on-Trent, kelmarin. — FOTO AFP
WAN-BISSAKA ketika menghadiri latihan England di St George’s Park di Burton-on-Trent, kelmarin. — FOTO AFP
AFP

PERTAHANAN kanan Manchester United, Aaron Wan-Bissaka menarik diri awal pagi tadi daripada skuad England berdepan Bulgaria dan Kosovo bagi kelayakan Euro 2020 minggu depan kerana kecederaan belakang.

Pemain berusia 21 tahun itu dijangka membuat penampilan sulung senior di peringkat antarabangsa selepas menyerlah dalam empat aksi pertama sejak menyertai United dari Crystal Palace dengan harga £50 juta (RM254 juta) Jun lalu.

“Aaron Wan-Bissaka menarik diri daripada skuad England,” menurut Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris dalam satu kenyataan.

“Pertahanan kanan Manchester United itu sudah kembali ke kelabnya kerana masalah kesakitan belakang.

“Dengan Trent Alexander-Arnold dan Kieran Trippier sudah disenaraikan dalam skuad Gareth Southgate yang kini mempunyai 24 pemain, tiada pengganti dirancang.”

England berada di landasan baik untuk layak ke pusingan akhir Kejohanan Eropah tahun depan selepas membelasah Republik Czech dan Montenegro dalam dua aksi pertama mereka.

Wan-Bissaka seorang daripada empat pemain yang tidak pernah beraksi dinamakan dalam skuad Southgate minggu lalu ketika bos England itu merancang untuk memberi peluang kepada beberapa pemain muda membuktikan keupayaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 8:12 AM