MESSI (kiri) meraikan gol Suarez di Nou Camp, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
MESSI (kiri) meraikan gol Suarez di Nou Camp, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

LIONEL Messi membuktikan Barcelona amat memerlukan sentuhannya apabila dia bertindak cemerlang dengan umpanan gol menakjubkan sekali gus memastikan kemenangan 2-1 ke atas Inter Milan pada kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Bintang Argentina itu hanya membuat penampilan keduanya musim ini dalam semua pertandingan namun membantu kemenangan bermakna dengan kemahiran individu memukau untuk mencipta gol kedua Luis Suarez pada minit ke-84.

Kapten Barca itu merebut bola hampir di kawasan tengah di sayap kanan dan meluru melepasi tiga pemain Inter sebelum menggelecek seorang lagi dan melakukan hantaran silang kepada Suarez, yang menyentuh bola sebelum merembat ke dalam jaring gol.

Inter, yang menghasilkan permainan bertenaga pada babak pertama, mendahului selepas dua minit menerusi Lautaro Martinez namun ia disamakan menerusi rembatan voli mengagumkan Suarez selepas rehat.

KEHEBATAN Messi mengambil sepakan percuma tidak pernah diragui. — FOTO EPA
KEHEBATAN Messi mengambil sepakan percuma tidak pernah diragui. — FOTO EPA

“Saya hanya cuba untuk memberikan persembahan baik, saya bangga mampu melengkapkan perlawanan dan menamatkannya dengan bagus,” kata Messi kepada wartawan selepas bermain 90 minit buat kali pertama musim ini.

“Saya penat dan kurang cergas tapi lebih banyak perlawanan saya akan berasa lebih selesa. Saya akan berada di prestasi terbaik apabila bermain banyak perlawanan.”

Messi kembali ke pramusim lebih lewat berbanding rakan sepasukannya kerana terbabit dengan Copa America dan mengalami kecederaan betis pada hari pertama latihan.

Kurang cergas bermakna dia hanya bermain dua daripada tujuh perlawanan Barca dalam La Liga, yang mana juara bertahan itu sudah tercicir lapan mata dan merudum ke tangga keempat dalam carta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 1:19 PM