GRIEZMANN mencari keserasian dengan Messi dan Suarez. — FOTO uefa.com
GRIEZMANN mencari keserasian dengan Messi dan Suarez. — FOTO uefa.com
AFP

BARCELONA mahu melebarkan catatan lima kemenangan berturut-turut apabila mereka berdepan pasukan kerdil Liga Juara-Juara, Slavia Prague pada pertembungan sulung kedua-dua pasukan di Prague, awal pagi Khamis ini.

Menepis kemelut politik di persekitaran mereka, anak buah Ernesto Valverde mudah mengatasi Eibar 3-0 di laman lawan Sabtu lalu menerusi gol Lionel Messi, Luis Suarez dan Antoine Griezmann.

Kemenangan kelima aksi kompetitif berturut-turut – termasuk menang 2-1 ke atas Inter Milan pada aksi terakhir Liga Juara-Juara – melonjakkan mereka ke puncak La Liga satu mata di depan Real Madrid.

Minggu lalu dua kelab gergasi itu bersetuju menangguhkan Clasico, pertembungan antara dua pasukan terbaik liga, dari Sabtu ini kepada Disember depan susulan protes di Catalonia.

Di Prague yang lebih tenang, juara Czech, Slavia bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan kelab kerdil Pribram 3-1 Sabtu lalu untuk mendahului enam mata di liga utama Czech.

SUAREZ (kanan) jaring dua gol menentang Inter. — FOTO uefa.com
SUAREZ (kanan) jaring dua gol menentang Inter. — FOTO uefa.com

Selepas dua perlawanan, Barcelona menghuni tangga kedua Kumpulan F Liga Juara-Juara dengan empat mata susulan kemenangan ke atas Inter dan seri 0-0 dengan Dortmund yang mendahului kumpulan menerusi perbezaan jaringan.

Slavia tersadai di tangga tercorot dengan satu mata selepas seri 1-1 dengan Inter di Milan dan tewas 0-2 kepada Dortmund di laman sendiri.

Barcelona lega dengan keberkesanan jentera serangan mereka selepas pertembungan dengan Eibar, sesuatu yang perlu dibimbangi Slavia.

“Ada hari yang lebih bagus atau lebih teruk, tapi kami semakin faham dengan permainan rakan sepasukan dan akan memburu lebih banyak gol,” kata Griezmann.

“Pemain hebat sering kali memahami antara satu sama lain dan sering bertemu. Akhirnya, dengan masa dan perlawanan mereka akan meningkat serta menjadi lebih bagus,” jelas jurulatih Valverde.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 1:06 PM