AKSI Low Wee Wern ketika menentang pemain dari Hong Kong, Annie Au.
AKSI Low Wee Wern ketika menentang pemain dari Hong Kong, Annie Au.
Oleh Iskandar Shah Mohamed


EMPAT pemain negara menjadi sandaran utama Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) untuk memberi saingan sengit dan menjuarai Terbuka Malaysia 2019 di Bukit Jalil, minggu depan. 

Selain Low Wee Wern yang juga juara bertahan, cabaran itu bakal digalas seorang lagi pemain senior wanita, Rachel Arnold manakala skuad lelaki ditunjangi Ivan Yuen dan Ng Eain Yow. 

Pengarah Kejurulatihan SRAM, S Maniam berkata, semua pemain yang disenaraikan pihaknya itu masing-masing menjadi pilihan kedua dan ketiga kejohanan acara individu berkenaan. 

"Kami menyasarkan Wee Wern selaku pemain utama akan mara ke peringkat akhir untuk menyaingi pilihan pertama kejohanan, Rowan Elaraby dari Mesir, manakala Rachel sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir. 

"Bagi kategori lelaki, Ivan dan Eain Yow turut dijangka memberi tentangan sengit kepada pemain pilihan pertama, Max Lee dari Hong Kong sekali gus merebut kejuaraan edisi kali ini," katanya kepada Arena Metro. 

  Kata Maniam, ia turut menjadi medan terakhir pemain itu sebelum menyertai Kejohanan Skuasy Dunia di Kaherah dan Doha pada hujung Oktober serta November depan.    

Kejohanan Terbuka Malaysia selama lima hari di Pusat Skuasy Nasional itu bakal membuka tirai bermula Rabu depan.   

Arena Metro sebelum ini melaporkan Wee Wern yang juga pemain ranking ke-23 dunia bertekad terus bangkit menebus kekecewaan dan memberi fokus menghadapi kejohanan itu.  

Pada edisi tahun lalu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu menjuarai kejohanan selepas menewaskan pilihan keempat, Satomi Watanabe dari Jepun dengan straight set dalam masa hanya 30 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:38 PM