WEE Wern kecewa terpaksa tarik diri daripada menyertai kejohanan di Mesir.
WEE Wern kecewa terpaksa tarik diri daripada menyertai kejohanan di Mesir.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Empat pemain skuasy negara perlu menunggu lebih lama sebelum dapat beraksi semula apabila mereka tidak dapat menyertai Kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna 2021 di Mesir yang dijadualkan dari 20 hingga 28 Mei.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S Maniam berkata, empat pemain tersebut Low Wee Wern, Ivan Yuen, Rachel Arnold dan Aifa Azman terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu selepas mereka tidak dibenarkan untuk terbang ke Mesir, Ahad lepas.

Maniam berkata, perkara itu berlaku disebabkan kesemua pemain tersebut tidak mempunyai sijil vaksinasi polio yang sah.

"Penguatkuasaan (vaksinasi polio) mula dikuatkuasakan pada 25 Mac. Namun sama ada syarikat penerbangan, PSA (Persatuan Skuasy Profesional), penganjur kejohanan, ataupun pihak berkuasa yang mengeluarkan pas perjalanan, mengetahui mengenainya ataupun gagal untuk memaklumkan kepada kami.

"Kami, terutamanya Wee Wern cuba untuk membolehkan perjalanan itu dibenarkan, namun gagal," kata Maniam dalam satu kenyataan disiarkan menerusi akaun Facebook SRAM, semalam.

Maniam mengakui, kesemua pemain terbabit kecewa kerana tidak dapat menyertai kejohanan di Mesir itu selepas sekian lama tidak dapat beraksi dalam sebarang kejohanan.

Bagaimanapun beliau berkata, pemain kini akan mempersiapkan diri bagi menyertai kejohanan seterusnya di Amerika Syarikat, bulan hadapan.

Sementara itu Wee Wern yang berkongsi hantaran di dalam akaun Facebooknya menyatakan kekecewaanya, kerana terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan tersebut.

"Ia sesuatu yang amat mengecewakan kerana saya amat nantikan untuk bermain semula dalam satu kejohanan utama PSA selepas 15 bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 2:53 PM