REAKSI Piatek selepas menjaringkan penalti  Milan. - FOTO EPA
REAKSI Piatek selepas menjaringkan penalti Milan. - FOTO EPA
Reuters

PEMAIN AC Milan, Krzysztof Piatek kembali membarisi kesebelasan utama dan menjaringkan gol kemenangan menerusi penalti ketika menewaskan Hellas Verona 1-0 dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Penyerang Poland itu yang digugurkan jurulatih, Marco Giampaolo ketika menang ke atas Brescia sebelum rehat antarabangsa mengetuai jentera serangan di Stadio Marc'Antonio Bentegodi dan membuka akaun jaringan dalam perlawanan sengit.

Verona terpaksa beraksi 10 pemain apabila Mariusz Stepinski dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain lawan pada minit ke-21 tetapi pertahanan tuan rumah cekal bertahan selepas itu.

Piatek yang hanya menjaringkan satu gol dalam sembilan penampilan terakhir tidak melakukan kesilapan dengan menyempurnakan penalti pada minit ke-68 selepas Koray Gunter terkena bola di tangan.

Pemain Milan, Davide Calabria dibuang padang pada minit akhir perlawanan tetapi gagal dimanfaatkan Verona dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan membolehkan pelawat mendaki ke tangga ketujuh liga dengan enam mata, dua mata mengatasi Verona yang mengisi tangga ke-11.

Jurulatih Milan, Giampaolo tetap berpuas hati dengan tiga mata diperolehi di tempat lawan itu. “Pemain beraksi dengan baik pada babak kedua dengan pendekatan yang betul dan tepat,” katanya kepada Sky Sport Italia.

"Pasukan yang bertahan dengan 10 pemain hampir keseluruhan perlawanan memang sukar diatasi dan kami bernasib baik menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 7:24 AM