Pemain Selangor, Ifedayo Olusegun melakukan rembatan kencang ketika aksi perlawanan Piala Malaysia. FOTO Sairien Nafis
Pemain Selangor, Ifedayo Olusegun melakukan rembatan kencang ketika aksi perlawanan Piala Malaysia. FOTO Sairien Nafis
Syazwan Msar


HASRAT Selangor untuk mara ke peringkat suku akhir tertangguh berikutan sekadar seri 1-1 ketika melayan kunjungan Melaka United dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

Keputusan itu sekali gus perebutan slot ke pusingan seterusnya masih terbuka untuk semua pasukan kumpulan D dengan harapan terletak pada perlawanan terakhir.

Skuad kendalian B Sathianathan terlebih dahulu diuji seawal minit pertama apabila Patrick Reichelt hampir menyumbat gol pembukaan namun tandukannya terkena palang sekali gus memberi kelegaan kepada Selangor.

Skuad Gergasi Merah Kuning yang sekali sekala melancarkan serangan hampir berada di depan menerusi Faiz Nasir namun sepakannya sedikit tersasar.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Khairul Fahmi Che Mat gagal menepis kemas sepakan Ifedayo Olusegun sebelum disambar Khril Muhymeen Zambri untuk gol pertama pada minit 38.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan terus melakukan asakan ke kubu lawan bagi mencari gol penyamaan.

Hasilnya, pemain tengah Melaka Saiful Ridzuwan Selamat menyumbat gol penyamaan pada minit 49 selepas menerima umpanan daripada Deevan Raj. Kedua-dua pasukan terpaksa berpuashati untuk berkongsi mata selepas keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

Selangor, Melaka United dan Felda United berkongsi tujuh mata manakala PDRM pula berada tangga tercorot kumpulan dengan lima mata.

Setakat ini, menyaksikan tiada pasukan daripada kumpulan D layak ke pusingan seterusnya dan perlu menunggu baki dua perlawanan untuk penentuan tempat pertama dan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 11:08 PM