REAKSI Dimitrov selepas menewaskan Federer pada suku akhir perseorangan lelaki Terbuka AS, pagi tadi. — FOTO AFP
REAKSI Dimitrov selepas menewaskan Federer pada suku akhir perseorangan lelaki Terbuka AS, pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

GRIGOR Dimitrov bangkit sebelum mengejutkan pemenang 20 gelaran Grand Slam, Roger Federer pada Terbuka AS pagi tadi, pemain ranking paling rendah layak ke separuh akhir di New York dalam tempoh 28 tahun untuk bertemu Daniil Medvedev.

Pemain Bulgaria ranking ke-78 dunia itu, yang kalah semua tujuh pertemuan dengan Federer sebelum ini, melakukan kebangkitan dramatik untuk mengalahkan pilihan ketiga dari Switzerland itu 3-6, 6-4, 3-6, 6-4, 6-2 di Stadium Arthur Ashe dan akan berdepan pilihan kelima dari Russia, Medvedev pada separuh akhir pagi Sabtu ini.

“Saya terlalu gembira,” kata Dimitrov. “Satu perkara saya ingatkan kepada diri sendiri adalah untuk kekal bersaing dalam perlawanan ini. Secara fizikal saya berasa amat bagus. Saya melakukan beberapa pukulan yang sukar dilakukan menentangnya.”

Dimitrov layak ke separuh akhir Terbuka AS kali pertama untuk menyamai pencapaian terbaik peribadi pada kejohanan Grand Slam di Wimbledon pada 2014 dan Terbuka Australia dua tahun lalu.

FEDERER meninggalkan gelanggang dengan wajah suram selepas tewas kepada Dimitrov. — FOTO AFP
FEDERER meninggalkan gelanggang dengan wajah suram selepas tewas kepada Dimitrov. — FOTO AFP

Tidak pernah sejak Jimmy Connors yang menduduki ranking ke-174 dunia layak ke suku akhir 1991 menyaksikan pemain dengan ranking ATP paling rendah mara ke separuh akhir.

Dimitrov juga muncul pemain dengan ranking paling rendah layak ke separuh akhir acara Grand Slam sejak Rainer Schuettler dari Jerman yang menghuni ranking ke-94 mara di Wimbledon 2008.

Federer, juara Terbuka AS lima kali yang tidak menang di Flushing Meadow sejak 2008, keluar dari gelanggang beberapa kali bagi merawat leher.

“Ini detik Grigor, bukan detik tubuh saya,” kata Federer.

WAWRINKA (kanan) mengucapkan tahniah kepada Medvedev. — FOTO AFP
WAWRINKA (kanan) mengucapkan tahniah kepada Medvedev. — FOTO AFP

“Tidak mengapa. Beginilah yang berlaku,” kata Federer. “Saya sudah mencuba yang terbaik. Saya berjuang menentangnya dengan apa yang saya ada dan itulah penamatnya.”

Medvedev mengalahkan juara tiga gelaran Grand Slam, Stanislas Wawrinka 7-6 (8/6), 6-3, 3-6, 6-1 untuk layak ke separuh akhir pertama pada kejohanan utama, mengatasi rasa sengal otot yang menyebabkannya hampir menarik diri. Kini dia mempunyai rehat dua hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 1:26 PM