LEWANDOWSKI (kanan) menyumbang dua gol untuk mengatasi Olympiakos di Athens. — FOTO AFP
LEWANDOWSKI (kanan) menyumbang dua gol untuk mengatasi Olympiakos di Athens. — FOTO AFP
AFP

KAPTEN Bayern Munich, Manuel Neuer tidak menyembunyikan perasaan kecewanya selepas kelab Jerman itu mengharapkan dua gol Robert Lewandowski sebelum mengatasi Olympiakos 3-2 pada aksi Liga Juara-Juara di Athens, awal pagi tadi.

Lewandowski mengekalkan rekod fenomenanya, menjaringkan gol dalam aksi ke-12 berturut-turut sekali gus mengumpul 18 jaringan dalam 13 perlawanan bagi semua pertandingan setakat ini musim ini.

Selepas Youssef El Arabi mengejutkan pelawat di Stadium Karaiskakis, Lewandowski meledak dua gol kedua-duanya menerusi kerja keras Thomas Mueller, yang mengubah arus perlawanan sebelum Corentin Tolisso meraih gol ketiga dengan jaringan menakjubkan.

Membimbangkan buat juara Jerman itu, Olympiakos sekali lagi mengatasi penjaga gol Bayern, Neuer pada lewat aksi menerusi pemain tengah Brazil, Guilherme dalam tempoh 10 minit terakhir yang mendebarkan.

“Kami menyusahkan diri sendiri sekali lagi,” kata Neuer ketika Bayern gagal menang dua aksi terakhir Bundesliga.

TOLISSO (tengah) meledak gol ketiga Bayern. — FOTO Reuters
TOLISSO (tengah) meledak gol ketiga Bayern. — FOTO Reuters

“Kami perlu bermain dengan cara sendiri seperti sebelum ini dan setiap pemain mesti menghasilkan persembahan lebih baik.

“Masalahnya kami sering perlu menjaringkan tiga gol kerana kami sekali lagi dibolosi dua gol,” katanya, merujuk kepada keputusan seri 2-2 di Augsburg Sabtu lalu dan kekalahan mengejut 1-2 di laman sendiri kepada Hoffenheim awal bulan ini.

Ia kemenangan ketiga berturut-turut Bayern di Eropah meninggalkan mereka lima mata di depan sebagai pendahulu Kumpulan B mengatasi Tottenham Hotspur, yang menang besar 5-0 di laman sendiri ke atas Red Star Belgrade, manakala Olympiakos kekal di tangga tercorot.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 11:44 AM