Terengganu tidak risau cari pengganti Suffian kata Hishamuddin. FOTO NSTP
Terengganu tidak risau cari pengganti Suffian kata Hishamuddin. FOTO NSTP
Malik Muhamad


BIARPUN terasa dengan pemergian penjaga gol berpengalaman, Allahyarham Mohd Suffian Abd Rahman, kem Terengganu FC (TFC) tidak resah untuk mencari pemain yang bakal mengisi posisi berkenaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, penjenamaan skuad bola sepak negeri yang mempunyai pasukan 'feeder club' memberi kelebihan kepada skuad TFC.

"Satu kehilangan yang besar kepada sukan bola sepak negeri kerana arwah Suffian seorang pemain berdisiplin selain menjadi contoh kepada pemain lain.

"Arwah yang dipanggil ‘Abang Long’ dalam pasukan juga seorang pemain yang tidak lokek ilmu kerana sentiasa memberi tunjuk ajar kepada pemain lain.

Biarpun tidak mampu menjalani latihan kerana tidak sihat arwah tetap berusaha turun padang.

"Pada usia 41 tahun, arwah masih aktif selain tidak banyak kerenah dan masalah dengan pihak pengurusan dan rakan sepasukan.

"Bagaimanapun, kita tidak begitu bimbang dengan ketiadaan pemain itu kerana masih ada pemain lain mampu mengisi kuota penjaga gol terutama daripada Terengganu FC II (TFC II) sebagai pasukan 'feeder club'," kata Hishamuddin.

Mohd Suffian adalah watak penting skuad Penyu musim lalu menghembuskan nafas terakhirnya jam 1.10 tengah hari, Sabtu lalu di rumah bapa mentuanya di Bukit Tunggal, Kuala Nerus selepas mengalami serangan jantung.

Selain Wan Azraie Wan Teh kini mengambil alih penjaga gol utama pasukan, dua lagi penjaga gol skuad itu Muhamad Ilham Amirullah Razali dan Shafawi Mohamad juga mampu beraksi dengan baik.

PBSNT turut menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban keluarga arwah.

"Sumbangan itu bagi meringankan beban keluarga Suffian dan berharap peminat setia mendoakan arwah ditempatkan dalam kalangan insan beriman," kata Hishamuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 2:21 PM