SUKRI Mutalib.
SUKRI Mutalib.
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Barisan pemain skuad hoki lelaki negara digesa untuk terus memahami taktikal baharu yang diperkenalkan ketua jurulatih, Roelant Oltmans pada Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula Sabtu ini sehingga 21 Ogos depan.

Buah tangan terbaharu pengendali dari Belanda itu dilihat menjadi pada siri jelajah Eropah sebelum ini yang menyaksikan Malaysian Tigers berupaya menewaskan beberapa pasukan gergasi dunia serta memenangi Kejohanan Jemputan Empat negara.

“Bila kami memahami struktur baharu yang diterapkan jurulatih, saya pasti kami akan mendapat keputusan yang baik. Saya tidak dapat menerangkan secara terperinci, tetapi ia lebih kepada taktikal zonal,” kata kapten skuad negara, Mohamad Sukri Mutalib.

Beberapa keputusan positif ketika siri jelajah Eropah memberi bayangan skuad negara sudah hampir bersedia sepenuhnya untuk menghadapi aksi play off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, November depan.

Namun, Sukri berpendapat sebaliknya apabila menyatakan kekuatan skuad negara masih tidak dapat dilihat dengan jelas.

“Ketika ini pemain saling bertukar ganti di dalam pasukan. Jadi, kami masih tidak tahu siapakah 18 pemain yang benar-benar terpilih untuk beraksi di kempen kelayakan,” katanya.

Selain Malaysia, saingan di Tokyo turut menampilkan pasukan di ranking kelima dunia, India, New Zealand dan Jepun selaku tuan rumah.

Sementara itu, meledak sebanyak mungkin gol menjadi impian penyerang skuad hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn yang akan beraksi untuk musim kedua berturut-turut di saingan Bundesliga bersama kelab Wespen Zehlendorfer.

Katanya, impian itu tidak dapat dipenuhi ketika musim bertama bersama Zehlendorfer sebelum ini yang menyaksikannya sekadar menjaringkan satu gol saja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:20 AM